Skip to main
Logo Malaysiakini

Korea Selatan teladan M'sia majukan industri eksport - Dr Mahathir

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Malaysia seharusnya mencontohi Korea Selatan dalam berfikiran global bagi memajukan lagi industri eksportnya, dan bukan semata-mata tertakluk kepada pasaran domestik, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau turut menggesa pemain pasaran tempatan untuk memberi perhatian kepada pembuatan barangan yang mempunyai nilai eksport tinggi. Ini sekaligus dapat membuahkan hasil lumayan dan syarikat-syarikat tempatan tidak lagi perlu mengharapkan sokongan kerajaan seperti dahulu.

"Korea Selatan mempunyai stretegi yang berbeza. Kita hanya tumpu domestik.

"Sebaliknya mereka dari awal lagi telah meletakkan fokus pada world market. Sepatutnya kita membuat barangan yang boleh dieksport," katanya kepada media Malaysia sebelum mengakhiri lawatan ke Korea Selatan, di Seoul pada Khamis .

Mahathir memberi contoh bagaimana industri eksport kenderaan Korea Selatan bermula dengan hanya sejenis Hyundai dan yakin bahawa Proton juga mampu mencapai kejayaan yang sama.

Katanya lagi, Korea Selatan telah bermula dengan industri pembinaan sehingga sampai ke padang pasir, selain mengambil bahagian dalam pembangunan Malaysia menerusi pembinaan Jambatan Pulau Pinang serta Menara Berkembar KLCC.

"Mereka berani. Walaupun dulu dikenali sebagai the hermit kingdom, sekarang ini apa saja yang barat boleh buat, dia juga boleh buat," katanya.

Beliau berkata hanya satu sahaja syarikat di Malaysia yang boleh dianggap berjaya iaitu Petronas, dan itu pun adalah kerana kekayaan semula jadi negara.

Katanya lagi, sesebuah perniagaan mesti dijalankan dengan jujur, dan tidak boleh berjaya bila ada banyak campur tangan berbaur politik.

- Bernama