Skip to main
Logo Malaysiakini

Derita kehidupan OKU di IPT

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kertas ujian dikutip sebelum sempat saya selesai menjawab, gara-gara pensyarah hendak cepat dan semua pelajar lain sudah siap menjawab.

Itu antara episod yang terpaksa ditempuhi Muhamad Nur Aqmal Khatiman, 21, pelajar yang menghidap Cerebral Palsy poor coordination, iaitu mengalami pergerakan fizikal yang terhad.

Malah k​​​​​esukaran menaiki tangga untuk mengikuti kuliah di tingkat lima juga suatu yang membebankan pelajar ini.

"Pernah sekali, pelajar lain menyuruh saya keluar daripada lif kerana 'overload' (terlebih muatan), sedangkan lif yang mereka gunakan itu ialah lif untuk Orang Kurang Upaya (OKU).

Pelbagai kesukaran dialami Muhamad Nur Aqmal termasuk tidak diberi layanan sebagai OKU ketika menimba ilmu di kampus Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak.

"Ketika itu, memang sedih dan saya rasa tindakan tersebut sangat tidak adil kerana pensyarah juga sudah dimaklumkan tentang keadaan saya sejak dari awal semester. Tapi saya berbaik sangka mungkin dia lupa.

“Lebih sedih, sikap kurang prihatin tersebut membuatkan pencapaian akademik saya menurun dan mengalami tekanan dalam diam walaupun hakikatnya, saya boleh jawab dengan cemerlang jika diberi masa yang cukup," kata pelajar tahun ketiga Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer itu.

Sesi daftar subjek melelahkan

Berbual lanjut, Muhamad Nur Aqmal menjelaskan, sesi mendaftarkan sesuatu subjek pada setiap semester juga menjadi kelelahan buat dirinya yang terpaksa beratur panjang terutama jika kuota bagi subjek tersebut telah penuh atau pendaftaran perlu dilakukan secara manual.

"Apabila dah sampai giliran, kuota dah penuh dan hendak merayu, pegawai tak layan hinggalah saya terpaksa mengadu kepada timbalan rektor, baru pegawai berkenaan mahu pertimbangkan permintaan saya," katanya yang turut mengalami masalah pertuturan.

Itu antara cebisan penderitaan dalam diam yang dialami rata-rata pelajar OKU di pusat pengajian tinggi.

Ia bukan cerita baru, namun isu ini kurang dititikberatkan meskipun rata-rata institusi pengajian di negara ini semakin cakna dengan keperluan golongan istimewa.

Menurut pelajar ini lagi, biarpun kemudahan bagi golongan OKU pada hari ini berada di tahap terbaik, realitinya masih ramai yang terlepas pandang dengan keperluan emosi yang kebanyakkannya menjuruskan golongan OKU mengalami tekanan emosi dalam diam.

"Masih ramai yang tidak memahami malah ada yang takut untuk berkawan dengan kami. Mungkin mereka menyangka kami ini menyusahkan kerana selalu akan meminta tolong. Sedangkan, kami juga perlukan kawan yang normal," luah beliau.

Sikap komuniti kurang prihatin

Bagi Muhammad Salim Harmanain, 29, beliau mengakui mengalami tekanan emosi yang agak serius sewaktu berada pada tahun pertama pengajian peringkat ijazah sarjana muda di UIAM gara-gara kesukaran menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu.

Pelajar Sarjana Pendidikan khusus dalam psikologi pendidikan ini yang menghidap Cerebral Palsy dengan hanya tangan kiri yang berfungsi berkata, lazimnya punca 'kerumitan' yang dialaminya adalah disebabkan sikap komuniti yang kurang prihatin mengenai keperluan golongan OKU.

"Mujurlah saya mendapat sokongan ibu bapa dan kawan rapat. Tekanan perasaan yang dialami bertambah kurang dari tahun ke tahun seiring dengan fasiliti OKU yang ditambah baik," katanya sambil mengakui bahawa banyak pihak lebih mementingkan pembangunan fasiliti berbanding aspek emosi golongan OKU.

Situasi ini menurut beliau, antara dilema yang dihadapi OKU sehingga menyebabkan mereka tidak mahu berdepan dengan masyarakat.

"Mereka takut menyusahkan memandangkan masih ramai masyarakat yang suka menghakimi tanpa mengambil inisiatif memahami keperluan kami," katanya.

Sementara itu, Ketua Unit Perkhidmatan Kurang Upaya UIAM Prof Dr Ruzita Mohd Amin (gambar, atas) menjelaskan, ramai yang terlepas pandang dengan situasi ini dan sudah tiba masanya ia diperbetulkan.

"Secara zahir, mereka ini (OKU) kelihatan biasa tetapi ramai yang menderita dalam senyap sebab malu nak beritahu masalah mereka. Pernah ada pelajar yang menghadapi kemurungan yang agak teruk namun selepas kita tahu dan berikan bantuan serta sokongan, pelajar itu kembali pulih dan cemerlang dalam pelajaran," katanya.

Ruzita yang diwawancara Bernama selepas majlis pelancaran kempen IIUM Disability Grand Awareness 2019 baru-baru ini turut menjelaskan bahawa masyarakat hanya tahu cara untuk membantu golongan OKU dengan hanya memperbanyakkan fasiliti namun sering terlepas pandang keperluan untuk menjaga emosi mereka.

"Rasa rendah diri dan malu untuk mendapatkan pertolongan dari rakan sekuliah kerana menganggap mereka akan menyusahkan antara 'derita' yang dialami golongan OKU ini. Maka lama-kelamaan, mereka mengalami kemurungan yang akhirnya menjejaskan pelajaran mereka," katanya.

Menurut Ruzita, hanya kesedaran dan sokongan dari semua pihak terutama pensyarah dan rakan sekuliah yang mampu menaikkan semangat golongan OKU untuk meneruskan pelajaran.

"Paling utama adalah mereka yang mengalami 'kekurangan yang tidak nampak' seperti visi rendah dan pekak. Jadi, kita bantu mereka dengan beri masa yang lebih ketika menjawab peperiksaan atau menghantar tugasan.

Pusat intelek perlu lebih empati

Mengulas mengenai kempen yang julung kalinya diadakan secara besar-besaran di UIAM itu, Ruzita berharap ia mampu meningkatkan kesedaran warga kampus agar lebih prihatin dengan keperluan golongan itu.

"Saya percaya, keberadaan di pusat intelek seperti universiti perlu menjadikan kita lebih empati, menerima secara menyeluruh dan mempunyai nilai moral yang tinggi terhadap golongan istimewa ini.

"Saya harap, kempen bertemakan Realizing the Inclusivity dapat menyebar luas serta meningkatkan kesedaran warga UIAM secara keseluruhan untuk memahami dan menerima keadaan golongan OKU yang mempunyai keperluan berbeza," katanya.

Sementara itu Pengarah Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya, Datuk Maria Bernard Sinsoi berkata, setakat 30 Jun lepas, terdapat seramai 549,544 OKU berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat namun dipercayai masih ramai yang belum mendaftar.

"Kita harap melului kempen yang dijalankan, lebih ramai OKU tampil untuk berada bersama-sama masyarakat normal dan dalam masa yang sama orang ramai dapat memahami keperluan mereka tidak kira fizikal atau pun emosi," katanya.

- Bernama (Disunting oleh Rafeáton Md Ali)