Skip to main
Logo Malaysiakini

‘Hilman terlepas pandang kerana kerap ponteng mesyuarat’

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Selepas berbalas-balas kenyataan berbeza mengenai status jawatan pengerusi tetap Pemuda PKR (AMK), Mizan Adli Mohd Noor dan timbalan pengerusi tetapnya Mohd Ramly Ahmad, Setiausaha AMK Ahmad Syukri Che Ab Razab hari ini bertegas bahawa pelucutan jawatan kedua-dua mereka sah mengikut peraturan parti.

Ahmad Syukri merujuk kepada kenyataan Timbalan Ketua AMK, Hilman Idham tengah hari tadi yang berpendirian bahawa pelucutan jawatan tersebut tidak sah.

Syukri mempertikaikan kelayakan umur Mizan dan Ramly ketika pemilihan jawatan itu diadakan.

Ini kerana katanya, ketika pemilihan diadakan pada 16 November 2018, Mizan sudah berumur 35 tahun, manakala Ramly pula berusia 38 tahun, di mana menurutnya ia bertentangan dengan peraturan tetap AMK yang menyatakan usia memegang jawatan setakat umur 35 tahun.

“Jelas timbalan ketua AMK gagal memahami Perkara 5.1 dan 5.3 Peraturan Tetap AMK 2014. Perkara 5.1 menyatakan “semua anggota parti yang tidak akan mencapai usia tiga puluh lima (35) pada 31 Disember tahun berkenaan adalah menjadi anggota Angkatan Muda”.

“Perkara 5.3 pula secara jelas menyatakan “hanya anggota AMK boleh dipilih atau dilantik untuk memegang jawatan-jawatan dalam AMK”.

“Oleh itu Perkara 5.2 tidak terpakai dalam Mizan dan Ramly, yang secara automatik hilang kelayakan untuk memegang apa-apa jawatan dalam AMK,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Hilman dalam kenyatannya berkata, Mizan dan Ramly kekal sah menyandang jawatan mereka sehingga pemilihan sayap akan datang.

Adun Gombak Setia itu juga menjelaskan, perlembagaan parti dan peraturan tetap AMK tidak memberikan sebarang kuasa kepada Majlis Pimpinan Pusat AMK untuk melucutkan kuasa pengerusi dan timbalan pengerusi tetap.

Syukri bagaimanapun berkata Perkara 5.2 yang dibangkitkan oleh Hilman itu hanya terpakai kepada mana-mana anggota yang masih berada di bawah had umur pemuda PKR semasa dilantik dan melepasi had umur tersebut semasa memegang jawatan.

“Sebagai contohnya, saya dilantik menjadi Setiausaha AMK Malaysia semasa berumur 34 tahun dan akan memegang jawatan selama 3 tahun. Jawatan ini kekal walaupun saya akan melepasi had umur AMK,” katanya.

Syukri yang juga pengarah kongres nasional AMK juga mengkritik Hilman yang dilihat seakan-akan cuba mengalih fakta sebenar mengenai jumlah undi keseluruhan yang diperolehi oleh Mizan dan Ramly ketika pemilihan, yang melebihi jumlah perwakilan yang layak mengundi.

“Beliau cuba membangkit isu kelemahan kepimpinan AMK sehingga jumlah perwakilan layak mengundi begitu rendah. Apa juga sentimen murahan yang cuba dimainkan oleh timbalan ketua tetap tidak menafikan fakta yang sememangnya wujud keraguan dalam proses pengundian.

“Malah beliau seperti meludah ke langit apabila mengatakan kepimpinan AMK lemah dalam keadaan beliau juga sebahagian daripada Majlis Pimpinan AMK Malaysia.

“Mungkin timbalan ketua terlepas pandang terhadap banyak perkara memandangkan beliau hanya pernah hadir sekali mesyuarat Majlis Pimpinan AMK Malaysia,” katanya.