Skip to main
Logo Malaysiakini

Jangan panik MOU teroka nadir bumi di Perak - MB

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kerajaan negeri menasihati orang ramai agar tidak panik dengan usaha penerokaan nadir bumi yang akan dilakukan di Perak, demikian kata Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata, pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) di antara Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) dengan sebuah syarikat dari China iaitu Chinalco GXNF Rare Earth Development hanya untuk mengenal pasti nadir bumi yang ada.

"MOU ini adalah untuk kita eksplorasi, kita nak tahu apa ada dalam bumi dan selepas tahu kita akan buat kajian apakah ia economical untuk diekstrak, ada manfaat atau tidak. Bukan hari ini tandatangan, esok dah bawa keluar.

"Sebarang perlombongan sama ada emas, bijih timah, amang semua perlu dibuat kajian impak terhadap alam sekitar, dan hari ini kerajaan negeri masukkan pula kajian impak sosial," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perak SADC Agrofest 2019 di Ipoh, hari ini.

Ahmad Faizal mengulas kenyataan Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) Shariffa Sabrina Syed Akil yang menuntut Kerajaan Perak supaya memberhentikan dan tidak memulakan sebarang aktiviti berkaitan dengan eksploitasi nadir bumi di negeri ini.

Menjelas lanjut, Ahmad Faizal berkata sentiasa terbuka menerima setiap cadangan projek daripada mana-mana pihak swasta, namun ia bukan bermakna perkara itu dipersetujui.

"Samalah (contoh) ada yang kata kerajaan negeri akan buat loji penapisan minyak di Segari, Lumut. Itu cuma cadangan (syarikat swasta), bukan bermakna setuju.

"Takkan lah kerajaan negeri nak tutup pintu bila pihak swasta datang (bawa cadangan)," katanya sambil meminta semua pihak berhenti daripada membincangkan isu eksplorasi nadir bumi.

- Bernama