Skip to main
Logo Malaysiakini

Kedutaan Jerman kutuk graduan UMS tabik 'hail Hitler'

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kedutaan Jerman di Kuala Lumpur terkejut dengan tindakan seorang graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) menunjukkan penghormatan Nazi semasa majlis konvokesyen pada hujung minggu lalu.

Mengutuk tindakan itu, kedutaan itu berkata ia menjangkakan pihak berkuasa kerajaan dan universiti Malaysia melakukan perkara yang sama.

"Memandangkan penderitaan yang dahsyat yang dibawa ke atas dunia semasa Perang Dunia Kedua oleh rejim Nazi Jerman, kedutaan Jerman secara terang-terangan mengecam sebarang bentuk sokongan yang ditunjukkan kepada rejim yang bertanggungjawab terhadap pembunuhan beramai-ramai dan berharap kerajaan Malaysia dan pihak berkuasa universiti melakukan perkara yang sama," kata kedutaan Jerman dalam satu kenyataan.

UMS pada Selasa lalu berkata akan mengambil tindakan yang sewajarnya supaya hal itu tidak berulang.

"(Tular di media sosial) satu cekupanskrin seorang graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang memuat naik status tanda bersolidariti kepada Gaza dengan menggayakan gerakan tangan “hail Hitler”.

"UMS kesal dengan screenshot yang dimuat naik graduan tersebut di akaun facebook miliknya kerana menggunakan gambar semasa di pentas majlis konvokesyen tersebut.

"Pada kesempatan itulah pelajar berkenaan berhenti dan membuat gerakan tangan seolah-olah seperti melambai kepada audiens, dan kejadian itu berlaku dalam beberapa saat sahaja.

"UMS akan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelakkan perkara seperti ini berulang pada masa akan datang," kata Pusat Pengurusan Strategik dan Komunikasi Korporat Universiti Malaysia Sabah.

Ini selepas gambar tabik graduan itu menjadi viral di media sosial, lantas mengundang maklum balas warganet.

Graduan itu kemudian menjelaskan tabik 'hail Hitler' dibuatnya sebagai bantahan terhadap apa yang dia percaya sebagai dominasi Yahudi di seluruh dunia.

Beliau juga menyatakan sokongan terhadap rakyat Palestin di Gaza serta kebenciannya terhadap orang Yahudi.

Graduan itu juga menyokong tindakan pembunuhan rejim Nazi yang mengorbankan nyawa enam juta orang Yahudi.

Pada bulan September lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, yang sering dilabel sebagai anti-Semitik kerana kenyataannya terhadap orang Yahudi, juga menjelaskan pendiriannya terhadap Holocaust.

Semasa Forum Pemimpin Dunia Universiti Columbia di New York, Mahathir, yang menjawab soalan seorang pelajar, berkata bahawa beliau sekadar melaksanakan haknya dalam kebebasan bersuara.

"Kenapa saya tidak boleh mengatakan sesuatu terhadap orang Yahudi apabila banyak orang mengatakan perkara jahat tentang saya dan tentang Malaysia, dan saya tidak membantah? Saya tidak berdemonstrasi.

"Kita perlu bersedia untuk mendengar pandangan yang tidak memihak kepada kita, kerana kebebasan bersuara. Kebebasan bersuara adalah tentang bebas bersuara.

"Apabila anda berkata, 'Tidak, anda tidak boleh mengatakan ini. Anda tidak boleh menjadi anti-Yahudi' maka tidak ada lagi kebebasan bersuara," kata Dr Mahathir.

Dr Mahathir berkata beliau tidak membantah bilangan orang yang terkorban dalam Holocaust tetapi menyebut bagaimana seorang wartawan di United Kingdom dipenjarakan kerana mempersoalkan jumlah kematian ketika Holocaust.

"Jadi, saya menerima bahawa terdapat Holocaust dan terdapat banyak orang Yahudi yang dibunuh. Sebenarnya, pada suatu ketika, saya sangat bersimpati terhadap mereka ... Semasa perang, ketika anda tidak ada tetapi saya berada di sekitar waktu itu," katanya.

[Baca berita asal]