‘Seperti Chin Peng, kepercayaan rakyat terhadap PH juga sudah jadi abu’
Seorang pemimpin Umno tidak senang dengan cara Dr Mahathir Mohamad meremehkan isu abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (CPM) Chin Peng yang dibawa pulang ke negara ini.
“Apakah melanggar undang undang negara dianggap perkara remeh?” soal Mohd Puad Zarkashi.
“Tun M (Dr Mahathir) kata, takkan nak kutip balik abu Chin Peng yang sudah ditabur di atas laut.
“Sebenarnya kepercayaan rakyat terhadap PH juga sudah menjadi abu. Memang tidak boleh dikutip lagi,” kata ahli majlis tertinggi Umno itu dalam satu hantaran di Facebook.
Pada sidang akhbarnya di Seoul, Korea Selatan, semalam, Mahathir berkata bekas pemimpin PKM lain dibenarkan pulang ke Malaysia dan mengambil maklum bagaimana penindasan Jepun juga telah dilupakan.
“Kita bagi Shamsiah Fakeh balik, tak ada siapa complain. Awat pasal dia Melayu kut?
“Rashid Maidin boleh mai (mari) ke Malaysia, ada lain-lain lagi kita terima, tetapi Chin Peng kita tak mau terima, pasal dia ketua.
“Ya kita tahu gerila dulu, dalam perang dia bunuh banyak orang, kita pun bunuh banyak orang juga, jadi benda semacam ini yang nak bangkit untuk apa? Nak puas hati siapa?
“Nak suruh kita pi (pergi) kutip balik abu dia itu hantaq (hantar) balik ke luaq (luar) negeri?
Benda yang kecil-kecil itu, korek, nak buruk-burukan kerajaan,” katanya.
Mengulas lanjut, Puad berkata, bagaimanapun adalah malangnya bahawa perdana menteri melihat masalah itu dari sudut perkauman.
Pemimpin Umno itu berhujah bahawa sehingga kematiannya pada 2013, Chin Peng tidak pernah memohon untuk menjadi warganegara Malaysia.
Berikutan perjanjian Hat Yai pada tahun 1989, beliau berkata, PKM diberikan tempoh setahun untuk membekalkan senarai mereka yang ingin kembali ke Malaysia dan nama Chin Peng tidak ada dalam senarai itu.
“Daripada 1,188 anggota hanya 431 sahaja yang memohon balik ke Malaysia. Nama Chin Peng tidak ada pun dalam senarai permohonan itu.
“Itu bermakna Chin Peng memang tidak mahu balik Malaysia. Apakah kesetiaannya kepada Yang di-Pertuan Agung masih berbelah bagi.
“Mungkin Chin Peng tidak mahu memenuhi syarat meninggalkan fahaman Komunis yang menolak sistem beraja. Sebab itu dia tidak ada dalam senarai 338 orang yang diluluskan,” katanya.
Puad berkata penjenayah perang tidak mengira kaum dan orang seperti Pol Pot, Radovan Karadzic dan Hitler tetap dianggap penjenayah walaupun setelah mengaku kalah.
“Ada bekas pemimpin Nazi ketika dijumpai dari persembunyian, umur mereka sudah lanjut. Mereka tetap dihukum.
“PKM pula menyambung keganasan selama 32 tahun lagi selepas negara diistiharkan merdeka. Maka hukuman tidak membenarkan abunya dibawa balik adalah wajar dan setimpal,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai