Skip to main
Logo Malaysiakini

Surat pecat Zakaria dah dihantar, tempoh rayu 2 minggu - PKR

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

PKR telah mengeluarkan sepucuk surat kepada Zakaria Abdul Hamid semalam memaklumkan mengenai pemecatannya daripada parti itu.

Bekas ketua cabang PKR Bera kini mempunyai dua minggu untuk membuat rayuan. Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil memberitahu hal tersebut pada sidang akhbar hari ini.

"Berdasarkan perlembagaan parti, terdapat tempoh selama 14 hari untuk mengemukakan rayuan pemecatan.

"Saya difahamkan lembaga disiplin PKR telah menghantar surat semalam dan maka bermaksud dua minggu dari tempoh semalam.

"Surat itu secara pentadbirannya telah dihantar semalam tetapi pemakluman (pemecatan Zakaria) telah dibuat sejurus selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada hari Ahad yang lalu," kata Fahmi.

Zakaria pada malam tadi berkata dia masih belum menerima surat rasmi pemecatannya daripada PKR.

Parti itu melucutkan keanggotaannya dan ahli PKR Pahang, Ismail Dulhadi atas dakwaan rasuah.

Tuduhan tersebut berasal daripada surat SPRM yang dihantar kepada PKR.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Azam Baki mengakui terdapat kekhilafan yang dilakukan oleh pihaknya yang mencadangkan tindakan tatatertib ke atas dua anggota PKR termasuk ke atas ketua cabang Bera, Zakaria Abdul Hamid, atas dakwaan melanggar kod etika parti.

"Mengikut garis panduan tatatertib yang perlu diikuti SPRM, laporan sesuatu salahlaku hanyalah dihantar kepada agensi dan kementerian kerajaan persekutuan atau negeri.

“Ia tidak tertakluk kepada mana-mana parti politik," katanya pada 25 Novemver lalu.

Malam tadi, Zakaria menggesa PKR memohon maaf kepadanya atas tuduhan rasuah itu kerana SPRM mengakui khilaf dan dia belum lagi didakwa di mahkamah.

Bekas setiausaha politik kepada Menteri Kerja Raya Baru Bian turut menafikan dakwaan dia terlibat rasuah.

Tindakan pemecatan PKR itu mendapat bantahan darpada anggotanya sendiri, terutama kerana alasan Zakaria tidak diberikan kesempatan tampil membela diri menjawab tuduhan terhadapnya sebelum dia dipecat.

Hari ini, Fahmi turut menegaskan kepimpinan tertinggi PKR mendapati tuduhan terhadap Zakaria dan Ismail dalam surat SPRM itu "sangat serius" dan memerlukan tindakan drastik.

"Saya percaya ini adalah langkah yang kami dapati diperlukan pada waktu ini untuk menegaskan bahawa PKR menentang keras amalan rasuah terutamanya dalam kalangan anggota parti dan juga pimpinan," jelasnya.

Setiausaha AMK, Ahmad Syukri Che Ab Razak sebelum ini membuat laporan SPRM yang menawarkan bukti audio bahawa Zakaria telah menawarkan kontrak bernilai RM20,000 dan pembiayaan kementerian kepada pemimpin parti tempatan semasa pemilihan parti PKR pada tahun lalu.

[Baca berita asal]