Tiga beradik yatim piatu di rumah sementara, geng motor datang bantu
Walaupun dipandang serong sejumlah masyarakat, sekumpulan pemuda yang menggelarkan diri sebagai Gagasan Pasukan Permotoran Bersatu Kelantan (GGPBK) membuktikan mereka juga mampu memberi sumbangan.
Kumpulan itu baru-baru ini mencuri tumpuan warganet dengan melancarkan program 'Demi Along Kerana Tuhan' untuk membantu seorang remaja yang menjadi yatim piatu tahun ini.
Mereka melancarkan kutipan dana itu setelah mendapat tahu kisah Mohamad Syahadam Abdul Talib Mohd Kassim yang tular di Facebook.
Syahadam, atau lebih selesa dipanggil Along,19, kehilangan ibu bapanya tahun ini dan lantas menggalas tugas menyara dua adiknya yang masih bersekolah.
Untuk itu dia bekerja sebagai penoreh getah dan pengait buah kelapa sawit.
Ketika GGPBK ke rumah Along di pedalaman Gua Musang 22 November lalu, mereka menyerahkan kutipan sejumlah RM8,500 yang berjaya diraih.
Wan Muhammad Fitri Lotfi Wan Mohd Marzuna, 25 tahun, yang menyertai konvoi menceritakan lebih lanjut berkenaan kesukaran yang dihadapi Along dan dua adiknya.
“Rumah Along tiada bekalan elektrik dan air. Mandi dan membasuh hanya di alur sungai belakang rumah. Rumah yang mereka tinggal hanyalah rumah sementara di atas tanah rizab keretapi.
“Keadaannya semakin susah pada musim hujan kerana cuaca tidak mengizinkan beliau keluar mengambil upah,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Kata Fitri, ahli GGPBK mengambil kesempatan membuat kutipan derma untuk Along sempena rancangan mereka untuk menganjurkan ‘ride amal’, iaitu satu aktiviti berkonvoi sambil beramal.
“Kami sepakat untuk ke rumah Along dan sampaikan bantuan. Dua minggu sebelum ke sana kami lancarkan kutipan tersebut melalui laman sosial.
“Pada hari konvoi pun kami adakan lagi kutipan derma iaitu semasa berkumpul sebelum ke rumah Along,” katanya lagi.
Walaupun dengan hujan lebat, sejumlah 200 penunggang menyertai konvoi itu yang disambut meriah oleh persatuan-persatuan bermotor di setiap daerah yang dilaluinya.
Fitri berharap usaha GGPBK itu secara tidak langsung dapat mengubah persepsi sesetengah masyarakat terhadap golongan bermotor.
"Apa pun ia bukan keutamaan kerana apa yang penting ialah kami bukan berkonvoi untuk hobi semata-mata tetapi pada masa sama memberi manfaat kepada orang lain dan menambah nilai positif dalam diri kami," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai