Skip to main
Logo Malaysiakini

Kahwin bawah umur: Khutbah pesan ibu bapa utamakan masa depan anak

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Khutbah Jumaat Majlis Agama Wilayah Persekutuan hari ini menyentuh soal perkahwinan kanak-kanak, di tengah-tengah isu kenaikan had umur perkahwinan di negeri-negeri baru-baru ini.

Menurut teks khutbah, agama memang membenarkan perkahwinan kanak-kanak - asalkan sudah baligh - tetapi pertimbangan ibu bapa perlulah demi masa depan yang terbaik untuk mereka.

"Justeru ibu bapa hendaklah memainkan peranan penting dalam melindungi kanak-kanak.

"Perkembangan fizikal dan mental mereka harus diambil berat dalam memastikan mereka dapat membesar dengan sempurna," menurut teks tersebut.

Mimbar memetik laporan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) yang menyatakan remaja berumur 10 hingga 19 tahun yang hamil mempunyai tahap komplikasi dan kematian yang lebih tinggi berbanding perempuan dewasa.

Mimbar turut membangkitkan perbezaan takrifan kanak-kanak iaitu mereka yang belum baligh dalam Islam dan mereka yang berumur 18 tahun ke bawah menurut undang-undang Malaysia.

"Walau apa jua takrifan yang digunakan, perlindungan dan perkembangan seseorang kanak-kanak adalah bergantung kepada orang dewasa.

"Oleh yang demikian, golongan dewasa mempunyai perWanan yang besar dalam pembentukan diri kanak-kanak, sama ada membesar dengan akhlak yang terpuji atau sebaliknya," katanya.

Perlindungan terhadap kanak-kanak di negara ini tidak akan tercapai jika masyarakat masih belum dapat menyelesaikan hal seperti penderaan, keganasan dan eksploitasi terhadap golongan itu, kata mimbar lagi.

Pada 19 November lalu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata hanya tujuh negeri setakat ini yang setuju untuk menaikkan had umur perkahwinan daripada 16 ke 18 tahun.

Tujuh negeri lagi iaitu Sarawak, Pahang, Terengganu, Perlis, Negeri Sembilan, Kedah dan Kelantan pula tidak setuju, kata menterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail di Dewan Rakyat.

Katanya lagi, kementerian itu dalam peringkat akhir menyiapkan draf Pelan Strategik Kebangsaan bagi menangani masalah perkahwinan bawah umur.

Keesokannya Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof berkata pihaknya akan meneruskan usaha meyakinkan jabatan agama di tujuh negeri itu untuk melarang perkahwinan di bawah umur pada 2020.