Skip to main
Logo Malaysiakini

Kalaulah orang Melayu rajin membaca

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

ULASAN | Bagi orang Islam, mereka tentu tahu bahawa perintah pertama yang Allah Taala turunkan kepada Nabi Muhammad SAW ialah menyuruh umat manusia membaca – Iqra.

Tetapi rasanya itulah perintah Allah yang paling diabaikan oleh orang Islam – tidak terkecuali orang Melayu Malaysia.

Orang Melayu Malaysia ini unik kerana mereka adalah satu-satunya bangsa di dunia yang wajib beragama Islam.

Arab yang sebangsa dengan Rasul Allah itu pun tidak diwajibkan beragama Islam. Maka ada orang Arab yang beragama Kristian dan tetap tinggal di negara-negara Arab sendiri.

Kalau orang Melayu Malaysia membaca, tidaklah perlu mereka bertegang leher berbahas secara tidak rasional mengenai debu mayat Chin Peng yang dibawa balik ke Malaysia untuk disemadikan.

Tetapi betullah kesimpulan bekas Ketua Polis Negara (KPN), Abdul Rahim Noor, bahawa orang yang berbahas itu tidak pun membaca sejarah Perjanjian Hatyai 1989.

Seperti kata Abdul Rahim, orang yang membantah pembawaan balik debu mayat Chin Peng patut baca baik-baik kandungan perjanjian tiga pihak yang membabitkan kerajaan Malaysia, Thailand dan bekas Parti Komunis Malaya (PKM) itu.

Rahim Noor

Malangnya orang Malaysia - khususnya orang Melayu - bukanlah manusia yang gemar membaca, mengutamakan sejarah dan berbahas secara rasional.

Maaf cakaplah kalau saya katakan, majoriti orang Malaysia adalah manusia yang malas membaca, malas berfikir, tidak gemarkan sejarah dan sangat mudah lupa.

Sebab itulah saya berulang kali berkata, Malaysia tidak akan menjadi negara maju, atau amat sukar menjadi negara maju, dalam pengertian sebenar.

Untuk menjadi negara maju, kita mestilah bertamadun. Untuk menjadi negara bertamadun, kita mestilah banyak membaca, kita mesti berilmu dan kita mesti berbudi pekerti tinggi.

Macam tahu segala-galanya

Abdul Rahim seorang bangsa Malaysia yang amat patriotik. Kalau ada orang yang berhak membantah kepulangan debu Chin Peng, maka orang itu ialah Abdul Rahim.

Sebelum menjadi KPN, beliau adalah Pengarah Cawangan Khas yang sejak sebelum Merdeka lagi berada di barisan hadapan dalam peperangan melawan komunis.

Tetapi Abdul Rahim juga adalah orang yang diberi kepercayaan oleh Dr Mahathir Mohamad pada akhir 1980-an untuk mencari penyelesaian mutakhir kepada isu PKM.

Untuk setahun lebih, kami - para pengarang waktu itu - mendapat taklimat “off-the-record” daripada Abdul Rahim mengenai kemajuan rundingan dengan PKM. Kami kemudian pergi ke Hatyai bagi menyaksi dan melaporkan majlis menandatangani perjajian itu pada 2 Di 1989.

Sekarang beliau diberikan pula tugas oleh Dr Mahathir untuk menjadi orang tengah dalam usaha membawa perdamaian dan keamanan ke Selatan Thai.

Malangnya, hari ini orang yang tidak tahu apa-apa mengenai peristiwa itu - termasuk sesetengah pengarang dan wartawan - bertindak seolah-olah mereka adalah pakar yang tahu segala-galanya.

Inilah masalah dan petanda kepada sebuah masyarakat yang tidak membaca, tidak berfikir dan tidak artikulat. Bangsa yang emosi dan naik angin tanpa sebab.

Dijajah kebodohan sendiri

Di sinilah saya sentiasa mengutuk Inggeris sebagai bangsa penjajah yang amat licik sehinggakan racun minda yang mereka suntikan ke dalam jasad bangsa-bangsa yang mereka jajah masih berkesan sampai hari ini.

Minda ramai orang di negara-negara bekas tanah jajahan mereka - termasuk yang lahir selepas kemerdekaan - tetap masih terjajah. Segala sesuatu mengenai Inggeris masih disanjung.

Realitinya ialah PKM menjadi parti politik sah dan bersenjata atas kehendak dan ihsan Inggeris sendiri.

Inggerislah yang memberi senjata kepada PKM apabila ia berjuang bersama Inggeris menentang Jepun. Kemudian senjata itu digunakan untuk melawan Inggeris selepas Perang Dunia Kedua.

Chin Peng menerima pingat penghargaan daripada Inggeris

Tidak ada yang lebih jelas mengenai penaklukan minda oleh Inggeris itu daripada ketaasuban orang Malaysia terhadap bola Inggeris.

Walaupun dunia bola Inggeris tidak cemerlang, namun ia terus menjadi sanjungan orang kita. Mereka tidak peduli atau tahu bahawa bola Inggeris adalah jauh lebih inferior berbanding negara-negara kecil di Eropah, Afrika, Amerika Selatan dan Asia.

Tapi mereka sanggup tidak tidur malam untuk melihat Manchester United yang tidak hebat mana pun berlawan dengan Liverpool atau Arsenal.

Manakala mereka kutuk kekejaman Israel dan Amerika Syarikat, mereka lupa atau tidak tahu pun bahawa yang merampas bumi Palestin dan memberikannya kepada orang Yahudi adalah Inggeris.

Natijahnya, kalau orang Malaysia - khususnya Melayu - tidak mahu terus bodoh dan diperbodohkan, mereka wajib membaca, berfikir dan berhujah sebagai manusia yang bertamadun.

Kalau tidak, janganlah marah atau kecewa seandainya mereka sekali lagi dijajah dan diperhambakan, bukan oleh mana-mana bangsa penjajah, tetapi oleh kebodohan mereka sendiri yang kian hari kian terserlah dipamerkan di media sosial.

Ketakutan atau kebencian terhadap debu mayat Chin Peng dan perkara-perkara abstrak ini adalah simptomatik kepada sebuah masyarakat yang lemah sejarah, emosional dan, mungkin juga - seperti kata Abdul Rahim - rasis.


A KADIR JASIN ialah penasihat media perdana menteri dan seorang bloger. Tulisan ini asalnya disiarkan di blog beliau dengan tajuk "Isu Debu Chin Peng: Petanda Masyarakat Yang Keliru."

Pandangan disiarkan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.