Skip to main
Logo Malaysiakini

Wilayah Persekutuan turut lewatkan 8min waktu solat Subuh

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Menyusuli pengumuman Selangor semalam, hari ini Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengumumkan waktu Subuh di Wilayah Persekutuan turut dilewatkan lapan minit berbanding takwim solat sedia ada, bermula esok.

Kelewatan itu, kata Jakim, tertakluk kepada Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, dan dibuat hasil keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) mengenai tambahan lapan minit bagi permulaan waktu solat Subuh.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat MKI yang bersidang pada 20 dan 21 Nov lalu bersetuju untuk menggunakan parameter altitud matahari pada 18 darjah di bawah ufuk, seperti yang diguna pakai Selangor.

Kata kenyataan itu, keputusan berkenaan dibuat berdasarkan penyelidikan komprehensif selama setahun oleh Jakim bersama pakar dari Universiti Malaya, Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Teknologi Mara berkaitan Penentuan Hukum Nilai Altitud Matahari di Bawah Ufuk Bagi Penentuan Awal Waktu Solat Subuh di Malaysia.

Tambahnya, hasil penyelidikan itu dibentangkan untuk penentuan hukum Jawatankuasa Muzakarah MKI, dan dibentangkan terlebih dahulu dalam Mesyuarat Jawatankuasa Penyelidikan dan Pengurusan Fatwa (JPPF) serta Muzakarah Falak Peringkat Kebangsaan.

Jelas Jakim lagi, keputusan muktamad dalam pelaksanaan keputusan tersebut di seluruh negeri bagi tujuan penyelarasan, adalah tertakluk kepada negeri-negeri itu sendiri.

“Persoalan berkenaan dengan sah atau tidak solat subuh yang dilaksanakan selama ini tidak timbul kerana waktu masuknya solat subuh adalah berdasarkan kepada ijtihad dan penyelidikan semasa yang telah diperakui oleh ulil amri (pemerintah) dan institusi agama yang berautoriti sama ada di peringkat Persekutuan mahupun negeri,” kata kenyataan itu lagi.

Terdahulu, Mufti Wilayah Persekutuan Dr Zulkifli Mohamad memuat naik status di Facebooknya memaklumkan bahawa penambahan lapan minit ke atas waktu solat Subuh itu disembah maklum kepada Yang Di-Pertuan Agong.

"Dengan ini, kami menyeru kepada semua stesen televisyen dan radio yang menyiarkan azan Subuh berdasarkan waktu di Wilayah Persekutuan, mengubahnya kepada waktu baru yang telah diperakukan oleh Agong," katanya.