Pemuda MCA ulang pendirian bantah wajibkan Jawi di sekolah vernakular
KEMASKINI 3.30PM | Ketua Pemuda MCA Nicole Wong menegaskan pendirian sayap parti itu yang menentang pembelajaran Jawi secara wajib di sekolah vernakular pada tahun depan.
"Kerajaan PH menerapkan pembelajaran tulisan Jawi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) secara paksa...Sehingga hari ini, Pemuda MCA, komuniti pendidikan Cina dan rakyat meluahkan rasa tidak puas hati.
"Pemuda MCA bukan menentang pembelajaran Jawi tetapi ia tidak seharusnya dimasukkan dalam buku teks Bahasa Malaysia secara paksa.
"Sebaliknya ia harus dianggap (diterapkan) sebagai kajian dan penghayatan seni," katanya ketika berucap dalam perhimpunan agung tahunan Pemuda MCA ke-55 di Kuala Lumpur, hari ini.
Dengan itu, katanya lagi, murid yang berminat untuk belajar itu dapat mempelajarinya sebagai pertukaran budaya antara etnik.
Pada Ogos lalu, setelah penentangan sejumlah pihak, Kementerian Pendidikan memutuskan pembelajaran tulisan Jawi di sekolah Cina akan diteruskan tetapi hanya jika ia dipersetujui Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG), ibu bapa dan murid.
Guru juga diberi kuasa untuk menetapkan sendiri kaedah pelaksanaannya.
Pada masa sama, Wong juga berkata lembaga sekolah perlu dibenarkan untuk membuat keputusan berkenaan perkara itu.
Bagaimanapun, beliau berkata Kementerian Pendidikan kelihatan tetap mahu pelaksanaan pembelajaran Jawi diteruskan, jika melihat apa yang berlaku ketika Dong Jiao Zong ingin menghantar memorandum kepada kementerian itu semalam.
Semalam wakil Dong Jiao Zong mengkritik Kementerian Pendidikan kerana membuatkan mereka perlu menunggu kira-kira satu setengah jam sebelum wakil kementerian menerima memorandum tersebut.
"Kita tak boleh benarkan ia berlaku kepada sekolah rendah Cina. Pemuda MCA akan mempertahankan pendidikan Cina dan kami tak akan berundur," kata Wong lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai