Skip to main
Logo Malaysiakini

'Bincang pemecatan Zakaria dalam mesyuarat MPP'

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR Ahmad Kassim menggesa pemimpin parti yang tidak puas hati dengan pemecatan anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Zakaria Abdul Hamid, agar membangkitkan isu itu ketika mesyuarat MPP akan datang.

"Keputusan pecat (Zakaria) adalah keputusan MPP, bukan keputusan lembaga disiplin atau presiden," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Kassim mengulas kenyataan bersama yang ditandatangani Timbalan Presiden PKR Azmin Ali dan 19 anggota MPP yang menyokongnya.

"Saya menerima baik memorandum yang dihantar dan akan diterliti dalam mesyuarat lembaga disiplin akan datang, dan akan membuat syor pada MPP.

"Saya merayu kepada semua yang menandatangani memo (kenyataan) untuk hadir mempertahankan pandangan tersebut dalam mesyuarat MPP akan datang," katanya.

Antara yang menandatanganinya ialah dua naib presiden Zuraida Kamaruddin dan Tian Chua, serta Zakaria sendiri.

Mereka antara lain menolak pemecatan Zakaria dan mendesak Anwar Ibrahim selaku presiden memohon maaf atas perkara itu yang disifatkan sebagai satu "keterlanjuran".

Sementara itu, setiausaha sulit Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata tiada keperluan untuk Anwar memohon maaf atas perkara itu.

Beliau yang juga pengerusi PKR Perak turut membidas Azmin dan pemimpin lain yang menyokongnya, dan membangkitkan ketidakhadiran menteri hal ehwal ekonomi itu di mesyuarat parti.

"Jika Azmin sering beri alasan tidak hadir mesyuarat kerana tugas menteri, apa pula alasan 19 orang anggotaMPP bersamanya?" soal Farhash dalam kenyataan.

Beliau membangkitkan pertemuan Azmin dengan sejumlah anggota parlimen BN di kediamannya pada 18 November lalu.

" Bila nak berjumpa pihak pembangkang senang saja dipelawa ke kediaman rasmi. Nasihat saya kalau sudah hilang arah sila buat keputusan yang betul tapi jangan terus menyesatkan ahli parti dengan bersikap munafik," katanya lagi.

Terdahulu Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata Zakaria mempunyai masa dua minggu untuk membuat rayuan,

Senarai penuh pemimpin yang menandatangani kenyataan bersama:

  • Azmin Ali - timbalan presiden
  • Zuraida Kamaruddin - naib presiden
  • Tian Chua - naib presiden
  • Amiruddin Shaari - anggota MPP
  • Mohd Rashid Hasnon - anggota MPP
  • Sivarasa Rasiah - anggota MPP
  • Rahimah Majid - anggota MPP
  • Elizabeth Wong - anggota MPP
  • Saifuddin Abdullah - anggota MPP
  • Radzlan Jalaluddin - anggota MPP
  • Mansor Othman - anggota MPP
  • Kamaruddin Jaafar - anggota MPP
  • Azmizam Zaman Huri - anggota MPP
  • Gan Pei Nei - anggota MPP
  • Hee Loy Sian - anggota MPP
  • R Santhara Kumar - anggota MPP
  • Haniza Mohamed Talha - anggota MPP
  • Dr Daroyah Alwi - timbalan ketua Wanita
  • Hilman Idham - timbalan ketua Pemuda