Skip to main
Logo Malaysiakini

Lebih 300 Orang Asli di Gua Musang terputus hubungan jalan darat

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Lebih 300 penduduk daripada 96 keluarga masyarakat Orang Asli di Kampung Pasir Linggi di Gua Musang, terputus hubungan jalan darat selepas jambatan Sungai Lebir yang menghubungkan kampung mereka dengan pekan Gua Musang dinaiki air sejak petang semalam akibat hujan lebat berterusan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supt Mohd Taufik Maidin berkata, jambatan itu mula ditutup kepada orang ramai sejak jam 3 petang semalam selepas dinaiki air lebih tiga meter.

“Penduduk di Kampung Pasir Linggi kini terpaksa menggunakan bot untuk keluar ke pekan Gua Musang dan kita jangkakan ada beberapa kampung Orang Asli di kawasan pedalaman yang akan terputus hubungan jalan darat akibat hujan berterusan dan banjir.

“Bagaimanapunm setakat ini masih tiada mangsa membabitkan masyarakat itu dipindahkan ke pusat pemindahan banjir (PPS) di jajahan ini,” katanya ketika dihubungi pemberita di Gua Musang, hari ini.

Mohd Taufik berkata polis akan melaksanakan pemindahan secepat mungkin jika menerima panggilan daripada mana-mana penduduk sepanjang musim tengkujuh ini.

Sementara itu, seorang penduduk Orang Asli Kampung Pasir Linggi, Zakaria Abdullah, 52, berkata jalan perhubungan darat di kampung itu mudah dinaiki air terutama ketika hujan lebat.

Beliau berkata berikutan itu penduduk terpaksa menggunakan bot untuk keluar ke pekan Gua Musang bagi membeli barangan keperluan harian.

“Beberapa hari diperlukan untuk air Sungai Lebir surut sepenuhnya dan ia sekali gus membataskan pergerakan penduduk terutama ketika musim tengkujuh ini.

“Bagaimanapun penduduk sentiasa bersiap-sedia untuk berpindah jika arahan dikeluarkan oleh pihak berkuasa,” katanya.

- Bernama