Skip to main
Logo Malaysiakini

Zakaria ingatkan Anwar, Saifuddin usah 'sembunyi' belakang SPRM

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pemimpin PKR yang dipecat, Zakaria Abdul Hamid menggesa presiden parti itu, Anwar Ibrahim, dan Setiausaha Agung, Saifuddin Nasution Ismail, agar tidak "bersembunyi" di belakang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mewajarkan tindakan mereka.

"Saya mengulangi pemecatan saya adalah menyalahi undang-undang dan tidak adil, dan menyeru kepada Anwar, Saifuddin dan kepimpinan parti untuk menetapkan perkara yang betul.

"Saya sekali lagi menggesa mereka untuk berhenti bersembunyi di belakang SPRM dan menggunakan namanya untuk menyembunyikan kesalahan mereka sendiri. Mereka sebaliknya perlu bertindak adil mengikut prinsip-prinsip reformasi," katanya dalam satu kenyataan malam tadi

Kepimpinan pusat PKR menggunakan surat SPRM berhubung dakwaan membeli undi oleh Zakaria pada pemilihan parti tahun lepas, sebagai sebab pemecatannya.

Timbalan Presiden PKR Azmin Ali dan kumpulannya semalam menggesa Anwar meminta maaf atas "keputusan terburu-buru" itu.

Anwar bagaimanapun enggan berbuat demikian dengan menyatakan tidak semua pemimpin PKR yang bersama Azmin menggesa perkara sama.

Sementara itu, Saifuddin ketika membacakan surat SPRM, menyatakan bahawa Zakaria telah menawarkan kontrak RM20,000 daripada Kementerian Kerja Raya kepada pemimpin-pemimpin PKR Bera.

Zakaria juga didakwa menggesa pemimpin PKR Bera memohon kontrak di bawah peruntukan RM300,000 daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Dalam satu kenyataan malam tadi, Zakaria berkata beliau terkejut dengan kenyataan Saifuddin yang didakwanya memutarbelitkan perkara itu.

"Fakta jelas, saya memberitahu ahli-ahli mesyuarat dengan mengatakan terdapat projek-projek kecil dari Kementerian Perumahan yang mana ahli-ahli boleh memohon dari majlis daerah yang berkaitan.

"Saya ingin tegaskan bahawa mereka hanya diminta memohon. Apa yang salah dengan itu? Di mana kesalahan itu? Keputusan muktamad sama ada untuk memberi sebarang projek kecil bergantung kepada pihak berkuasa berkenaan," katanya.

Zakaria juga mendakwa Timbalan Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Azam Baki mengesahkan bahawa tiada akan ada pertuduhan dibuat terhadapnya.

Azam berkata sedemikian dalam satu temu bual menerusi panggilan telefon dengan TV3 pada 25 Nov lalu.

"Kes ini telah selesai dijalankan siasatan di mana DPP (timbalan pendakwa raya) putuskan tiada pendakwaan terhadap mereka," katanya.

Bagaimanapun menurut sumber, surat itu menyatakan secara khusus bahawa PKR perlu mengambil tindakan tatatertib terhadap Zakaria.

Bagaimanapun, Zakaria berkata oleh sebab surat itu terkhilaf, beliau mempunyai hak untuk membela diri sebelum tindakan diambil terhadapnya.

Beliau diberi tempoh selama dua minggu untuk merayu pemecatan tersebut.

Selain Zakaria, PKR juga memecat seorang lagi ahli, Ismail Dulhadi yang turut terbabit dalam kes itu.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil mengulangi keputusan majlis pimpinan pusat parti itu untuk memecat Zakaria dilakukan selepas mempertimbangkan semua fakta yang diberikan dalam surat SPRM.

"Keadilan (PKR) mengulangi kesungguhan parti menolak sepenuhnya amalan rasuah, seiring komitmen Kerajaan di bawah kepimpinan YAB Tun Dr Mahathir (Mohamad) yang ingin menzahirkan Malaysia bersih dan bebas rasuah," jelasnya dalam satu kenyataan.