Skip to main
Logo Malaysiakini

Wan Azizah: PKR hanya ada satu kongres

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail, menegaskan hanya ada satu kongres untuk parti itu pada hujung minggu depan walaupun ada berita mendakwa kumpulan yang tidak bersetuju dengan Anwar Ibrahim merancang sebaliknya.

Menurut Wan Azizah kongres yang rasmi dan diiktiraf parti akan diadakan di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada minggu depan.

“Pada kami memang parti hanya ada satu kongres. Itu saja yang rasmi,” katanya lapor Berita Harian hari ini.

Kenyataan dibuat timbalan perdana menteri itu dibuat ketika ada khabar - yang belum dapat disahkan - tersebar bahawa kumpulan penyokong Azmin Ali merancang untuk mengadakan kongres berasingan dipercayai di sekitar ibu kota.

Azmin ialah timbalan presiden PKR yang mengadakan penentangan terbuka terhadap presidennya, Anwar. Beliau turut disokong beberapa menteri dan menteri besar.

PKR akan mengadakan kongres selama tiga hari mulai 6 Dis ini.

PKR sedang bergelut dengan pergeseran terbuka di antara kumpulan Anwar dan Azmin. Keadaan itu semakin diburukkan lagi dengan isu perasmikan kongres pemuda dan wanita parti terbabit.

Pada 29 Nov PKR memutuskan kongres sayap wanitanya akan dirasmikan oleh Azmin pada 5 Dis, manakala kongres pemuda oleh Wan sehari kemudian.

Penyokong Azmin bertegas bahawa tradisi untuk memberi ruang kepada timbalan presiden parti merasmikan kongres pemuda perlu dikekalkan.

Sementara itu Wan Azizh berharap pergeseran dalaman PKR dapat diselesaikan sebelum berlangsungnya kongres parti nanti.