Skip to main
Logo Malaysiakini

43,000 pelajar bakal terima bantuan Kembali Ke Sekolah

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Bagi meraikan golongan memerlukan sempena program 'Kembali Ke Sekolah', Yayasan Pelajaran Majlis Amanah Rakyat (Mara) bakal menghulurkan bantuan baucar buku tulis kepada 43,000 pelajar sekolah dari seluruh negara pada 9 Dis ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Mohd Harun berkata program yang akan berlangsung di Langkawi itu memfokuskan kepada pelajar sekolah rendah dan menengah daripada golongan B40.

"Kita tahu bila masuk sekolah pasti akan beli buku tulis, jadi kita berikan kepada golongan sasar iaitu B40 dan keseluruhan sumbangan mencecah hampir RM3 juta.

"Sebanyak RM50 kepada pelajar sekolah rendah dan RM70 kepada pelajar sekolah menengah.

"Kita fokuskan kepada pemberian buku tulis sebab ia amat penting untuk anak-anak ini melanjutkan pelajaran," katanya kepada media selepas merasmikan Program Kembara Pendidikan Mara di PPR Laksamana, Jalan Peel di Kuala Lumpur hari ini.

Program itu menyaksikan seramai 320 pelajar sekolah rendah dan menengah termasuk 98 orang anak yatim di Program Perumahan Rakyat (PPR) Laksamana dan Perkasa menerima sumbangan serta bantuan persekolahan 2020 daripada Yayasan Pelajaran Mara dan Rural Capital Berhad, dengan kerjasana Ansara Langkawi.

Rina turut menyampaikan replika cek bernilai RM69,500 kepada wakil Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Wilayah Persekutuan, penyerahan bantuan kaki palsu dan sumbangan khas orang kelainan upaya (OKU).

- Bernama