Skip to main
Logo Malaysiakini

'Tiada usul tak percaya pada Anwar dalam kongres PKR'

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Tiada usul undi tidak percaya kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim dalam Kongres Pemuda PKR hujung minggu ini.

Perkara itu disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Usul dan Perbahasan Kongres AMK 2019 Chua Wei Kiat.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Naib Ketua AMK Lembah Pantai Nazrin Idham Razali yang mengusulkan undi tidak percaya terhadap Anwar.

“Setelah semakan dibuat, kami mendapati tidak ada sebarang usul seperti yang disebut oleh saudara Nazrin dibangkitkan oleh mana-mana AMK peringkat cabang,” katanya yang juga setiausaha pengelola AMK.

Nazrin semalam dilaporkan mahu usul undi tidak percaya terhadap Anwar selepas Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, menolak keputusan parti memecat beberapa anggota baru-baru ini.

Nazrin berkata tindakan “mencantas” kepimpinan yang menyokong Azmin membawa kepada perpecahan teruk.

Azmin dan Anwar

Dalam kenyataan hari ini, Chua berkata setiap usul yang ingin dibahaskan pada Kongres Nasional Tahunan AMK perlu diusulkan melalui Mesyuarat Agung Tahunan AMK cabang yang berlangsung bermula Ogos sehingga Oktober tahun ini.

“Sebaliknya kami menerima banyak usul daripada AMK cabang yang menyuarakan sokongan terhadap kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Oleh itu saya percaya perkara yang dibangkit Saudara Nazrin ini bukanlah usul, tetapi tidak lebih dari sekadar gimik untuk meraih perhatian awam,” katanya yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Rawang.

Fahmi Fadzil 

Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil juga mengesahkan tiada sebarang usul tidak percaya terhadap Anwar dan tarikh untuk kemukakan sebarang usul telah berakhir.

"Setakat ini saya dalam jawatankuasa usul untuk kongres dan setakat ini tiada usul dibawa ke perhatian jawatankuasa berkenaan dengan sebarang usul undi tak percaya.

"Mekanisme untuk angkat satu usul untuk dibahas atau dibincang di kongres adalah melalui mesyuarat agong tahunan cabang dan untuk sayap-sayap juga melalui mesyuarat agong (iaitu) bagi pemuda dan sayap wanita," katanya di lobi Parlimen hari ini.