Anwar nafi ada rundingan damai dengan wakil kem Azmin
Presiden PKR, Anwar Ibrahim, menafikan khabar mendakwa ada usaha membawa perdamaian di antara beliau dengan timbalannya, Azmin Ali.
Bercakap kepada media di lobi parlimen hari ini, Anwar berkata, apa yang berlaku sebelum ini hanya perbincangan biasa dengan beberapa ahli parlimen PKR.
Menurut Anwar, ada beberapa pemimpin PKR yang ingin bertemu dengan beliau seperti bekas ahli parlimen Batu, Tian Chua, Maria Chin (MP Petaling Jaya), R Sivarasa (Sungai Buloh, Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa) dan Fahmi Fadzil (Lembah Pantai).
"Semalam, ada majlis pengajian (tazkirah) di rumah saya... ada daripada AMK (Pemuda PKR), Wanita datang, saya berjumpa semua.
"Mesej saya (ialah) jangan persulitkan kerjasama, jangan gunakan forum untuk menyerang sesiapa, bermuafakat untuk bangkitkan kesedaran parti dengan satu agenda," katanya.
Menjelang Kongres PKR hujung minggu ini, krisis dalaman parti itu semakin menjadi perhatian dengan ketegangan hubungan di antara kumpulan Anwar dan Azmin semakin meningkat.
Tak halang pertemuan
Terdahulu, dengan memetik sumber, NST melaporkan Tian Chua mengadakan pertemuan dengan Anwar pada tiga hari lalu tetapi lokasi dan masa ia berlangsung tidak didedahkan.
Tian Chua dianggap antara pemimpin kanan PKR yang berada dalam kumpulan Azmin.
Difahamkan Tian Chua menasihati Anwar supaya meneliti situasi yang asalnya telah selesai tetapi kembali hangat apabila bekas setiausaha politik Baru Bian, Zakaria Abdul Hamid, dipecat.
Ia kemudian diikuti dengan beberapa pemecatan lain.
Anwar berkata, beliau juga tidak mengadakan pertemuan empat mata dengan Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin, sebaliknya terbuka untuk mengadakan perbincangan secara terbuka.
"Pertemuan hati ke hati mungkin belum. Tapi pertemuan biasa di mesyuarat Majlis PH saya jumpa dia, tidak ada masalah.
"Saya tidak pernah menghalang mana-mana pertemuan, tapi saya agak keberatan kalau ia mewakili kelompok-kelompok dan faction (berpuak-puak), saya tak mahu," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai