Anwar menteri tugas khas? Pendapat Dr M, Dr M simpan sendiri
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memilih untuk tidak mendedahkan keputusannya berkenaan cadangan melantik Anwar Ibrahim sebagai menteri tugas khas.
Ditanya sama ada beliau bersetuju dengan cadangan penasihat medianya A Kadir Jasin, beliau menjelaskan semua orang bebas mengeluarkan pendapat mereka.
"Itu pendapat dia. Di Malaysia kita bebas bersuara. Siapa pun boleh buat apa-apa cadangan.
"Saya dengar semua orang punya cakap. Tak semua kita setuju. Banyak (juga) cadangan mengenai rombakan kabinet, ini kebebasan bersuara.
"Anda boleh tanya apa yang anda suka tapi sama ada saya akan respons atau tidak, apa yang saya fikirkan, saya simpan sendiri," katanya pada sidang media di lobi parlimen hari ini.
Semalam, Kadir mencadangkan Anwar dilantik sebagai menteri tugas khas susulan kesediaan Mahathir mempertimbangkan rombakan kabinet selepas kekalahan teruk Pakatan Harapan dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai.
Tak tahu perjumpaan bekas anggota PKM
Sementara itu, Mahathir berkata, beliau tidak tahu-menahu mengenai perjumpaan sekumpulan bekas anggota Parti Komunis Malaya (PKM) di Kajang pada Ahad lalu.
"You cakap tentang parti komunis. Saya baca surat khabar saja. Saya baru balik dari Korea. Tanya pasal Korea saya boleh jawab," katanya.
Semalam, Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin turut menyuarakan kebimbangannya berkaitan pertemuan kontroversi itu dan berharap polis, termasuk pasukan risikan, menyegerakan siasatan mereka.
Acara pada 1 Disember itu dihadiri 300 orang yang kebanyakannya warga tua.
Ia dianjurkan bagi memperingati ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hat Yai yang ditandatangani pada 2 Dis 1989. Acara serupa juga diadakan di Hat Yai malam tadi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai