Skip to main
Logo Malaysiakini

Menteri: Tangguh bentang RUU IPCMC untuk dapat lebih pandangan

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Penangguhan bacaan kedua dan ketiga Rang Undang-undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) ke sidang Dewan Rakyat seterusnya pada Mac depan bagi mendapatkan lebih banyak pandangan pihak yang tebabit, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew View Keong.

"Kerajaan sentiasa sensitif teguran daripada pihak rakyat.

"Kita telah mengambil maklum semua cadangan dan kritikan daripada semua pihak berkenaan dan keputusan kerajaan untuk berikan ruang kepada semua yang berkenaan, dan kita akan kembali pada Mac 2020 utk meneruskan RUU IPCMC.

"(Penangguhan) untuk membolehkan pemegang taruh terlibat memberi lebih pandangan. Hanya tiga bulan lagi (untuk bacaan seterusnya)," katanya ketika sidang media di Parlimen.

Dalam tempoh tiga bulan itu, kata Liew, pihaknya akan menambah baik RUU tersebut.

Beliau menolak spekulasi bahawa anggota parlimen PH yang menentang RUU tersebut dengan berkata, "RUU ini daripada kerajaan, jadi anggota parlimen kerajaan perlu menyokongnya."

Termasuk dalam manifesto PRU ke-14 Pakatan Harapan (PH), RUU itu untuk menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dan menjadi pemantau bebas untuk menerima laporan dan menjalankan siasatan terhadap salah laku polis.

Ia dibaca buat kali pertama pada sidang Dewan Rakyat lalu, pada 18 Julai.

Pada Oktober lalu, RUU itu dirujuk kepada jawatankuasa khas Parlimen untuk dibincangkan secara lanjut, termasuk berkenaan pindaan yang dicadangkan.

RUU tersebut termasuk dalam aturan mesyuarat hari ini namun Liew pagi tadi mengumumkan penangguhannya kepada sidang Dewan Rakyat akan datang.

Dalam sidang media, beliau menafikan keputusan untuk menangguhkannya dibuat di saat akhir.

"Kita telah berbincang dengan semua pihak berkenaan, dengan jawatankuasa khas Parlimen terutama pengerusinya Ramkarpal Singh, dan dengan jemaah menteri," katanya lagi.

Dalam satu sidang media berasingan yang dibuat lebih awal, Ramkarpal berkata beliau hanya dimaklumkan tentang penangguhan tersebut pada pagi ini.

"(Kerana) memerlukan masa untuk meneliti syor dan kandungan laporan. Tetapi (soalan itu) perlu ditanya kepada menteri... Setakat yang saya tahu, tugas saya hanya untuk bawa laporan tersebut ke Parlimen," katanya.

Katanya lagi, pihak jawatankuasa telah menyiapkan laporan dalam tempoh yang ditetapkan dan seterusnya bergantung kepada pertimbangan kerajaan untuk menerima syor mereka atau tidak.