Skip to main
Logo Malaysiakini

Awan mahu lebih ramai wanita dipilih

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Menjelang Konvensyen Nasional Amanah yang dijadual berlangsung 6 hingga 8 Disember ini, Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan) mendesak agar lebih ramai pemimpin wanita dipilih untuk mengisi kekosongan Jawatankuasa Pimpinan (JKP) Nasional sesi 2019-2022.

Dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini, Ketua Awan, Aiman Athirah, berkata pergerakan itu sebulat suara bersetuju untuk mengemukakan lima calon wanita bagi mengisi 27 tempat dalam JKP Nasional Amanah.

“Bagi memastikan usaha menambah suara dan undi Wanita Amanah dalam JKP Nasional berjalan lancar, beberapa pimpinan wanita mengambil keputusan untuk menarik diri daripada bertanding pada pemilihan nanti," katanya.

Menurut Aiman Athirah, seorang daripada calon yang menarik diri itu ialah beliau sendiri dan keputusan itu dibuat selepas dilantik menjadi ketua Awan baru-baru ini.

Menurut anggota Dewan Negara itu, langkang mengurangkan jumlah calon wanita bertanding ialah agar undi perwakilan Awan dapat ditumpukan untuk memenangkan calon yang masih bertanding.

Lima calon yang dipilih untuk kekal menawarkan diri dalam pemilihan JKP Nasional kali ini ialah Dr Siti Mariah Mahmud, Norhayati Bidin, Norwani Ahmat, Mariam Abdul Rashid dan juga Aida Yusof.

Aiman Athirah pada masa menegaskan permintaan Awan kepada perwakilan dibuat kerana ketika ini jumlah wakil wanita dalam JKP Nasional sangat kecil, iaitu hanya 18.5 peratus daripada 27 tempat yang ada.

Saling sokong-menyokong

“Takkan Amanah sebagai parti yang progresif dan inklusif tidak boleh berikan (undi kepada wanita).

“Saya yakin perwakilan Amanah bijak, cuma mungkin mereka perlu tahu siapa calon (wanita),” katanya.

Selain berkempen untuk lima calon tersebut, Awan juga mengumumkan persetujuan untuk menamakan Dr Siti Mariah untuk mengisi satu daripada dua jawatan lantikan naib presiden Amanah.

Pemilihan Dr Siti Mariah itu, katanya, dibuat kerana mengambil kira pengalaman luas pada exco Selangor berkenaan dalam pengurusan parti.

Kata Aiman Athirah, menjadi satu kerugian sekiranya Dr Siti Mariah tidak terlibat dengan pengurusan parti selepas meninggalkan jawatan ketua Awan.

Tambahnya lagi, pencalonan Dr Siti Mariah juga selari dengan semangat awal penubuhan Amanah yang mencadangkan satu daripada dua lantikan tersebut mestilah diberi keutamaan kepada wanita seandainya mereka tidak terpilih untuk mengisi mana-mana jawatan naib presiden yang dipilih.

Pada masa beliau menafikan dakwaan wujudnya dua kumpulan berbeza dalam kepimpinan tertinggi parti seperti yang didakwa sesetengah pihak.

“Sejauh yang saya lihat memang tak wujud situasi itu.

“Pasukan yang ada sebelum ini sangat menghormati dan menyokong satu sama lain,” jelasnya.

Tambahnya lagi, amalan menyokong satu sama lain itu juga dapat dilihat melalui sistem pemilihan presiden dan timbalan presiden yang dilakukan parti itu.

“Sebab itulah di Amanah kita tidak pilih presiden dan timbalan presiden.

“Kita pilih segugus 27 orang untuk mereka kemudian berunding siapakah yang boleh diangkat sebagai presiden dan timbalan,” katanya.