Skip to main
Logo Malaysiakini

Tahanan Sosma dakwa diugut 'dinding bilik penuh darah'

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Tertuduh yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas Pembebasan Harimau Tamil Eelam (LTTE) mendakwa diancam akan dipukul dan dicampak dalam belukar selain diberitahu bahawa "dinding bilik sebelah penuh darah".

Ia antara aduan penyeksaan mental yang didakwa oleh pengusaha B Subramaniam semasa penahanannya selama 21 hari di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma) 2012.

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Azura Alwi mencatatkan aduannya hari ini.

Subramaniam, 57, menceritakan dalam bahasa Tamil bahawa dia telah diancam dalam sesi soal siasat yang dijalankan oleh empat pegawai yang tidak berseragam.

Subramaniam berkata salah seorang pegawai itu merupakan lelaki "berbadan besar" yang memakai gelang perak.

Kata Subramaniam, lelaki itu menendang botol air di bilik soal siasat sambil memegang rokok.

Menurut Subramaniam, pegawai lain yang sibuk menulis juga merokok di bilik soal siasat yang berpenghawa dingin.

Tertuduh juga mendakwa bahawa salah seorang daripada mereka memberitahu kepadanya bahawa "kami raja di sini, kami bukan pekerja kamu". (We are the kings here. We are not your workers).

"Mereka beritahu di dinding bilik sebelah penuh darah dan 'jangan minta kami berbuat demikian terhadap kami'.

"Mereka juga ada tanya 'adakah kamu tahu ada orang yang telah dipukul dan dicampak dalam belukar?'.

"Pegawai yang sedang menulis pada masa itu memberitahu dia datang dari Sarawak khas untuk saya.

"Pegawai tersebut memberitahu bahawa jika saya tidak bekerjasama keluarga saya akan ditangkap dan disiasat seperti ini (seperti saya).

"Pegawai dari Sarawak tersebut memberitahu saya siasatan terhadap saya selesai dan didapati kesalahan saya adalah berkenaan dengan video tersebut sahaja.

"Dia juga memberitahu saya bahawa jika saya dipukul di tengah jalan dan ditembak, pihak polis susah mencari saya kerana saya banyak musuh," kata Subramaniam dari kandang saksi.

Ditangkap pada 10 Oktober, Subramaniam dan 11 individu lain kemudiannya didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 31 Okt atas dakwaan menyokong LTTE.

Hari ini Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mendengar aduan Subramaniam tentang dakwaan layanan buruk diterimanya semasa menjadi tahanan di bawah Sosma.

Dalam pemeriksaan utama selama satu jam, dia berkata penyeksaan mental bermula pada hari pertama penangkapannya apabila dia melihat anaknya dipaksa berlutut di hadapannya oleh polis.

Pemilik restoran itu turut mengimbas ketika dia ditempatkan di dalam sebuah bilik, kemudian dipakaikan cermin mata gelap yang membuatnya tidak dapat melihat, setiap kali dia dibawa ke bilik soal siasat sepanjang penahanan.

Subramaniam berkata dia juga sesak nafas kerana pegawai yang menyisatnya di bilik kecil berkenaan menghisap rokok dan vape (rokok elektronik).

"Semasa tempoh ini, dua orang pegawai menghisap merokok dan dua lagi pegawai menghisap vape. Kerana bilik kecil, saya mengalami sesak nafas dan mata saya berair.

"(Apabila) saya melihat kotak rokok tersebut (dipercayai milik salah seorang daripada penyiasat), seorang pegawai bertanya kepada saya mengapa saya melihatnya dan memberitahu saya bahawa dia akan menampar saya," kata Subramaniam.

Subramaniam mendakwa dalam sesi soal siasat, salah seorang pegawai telah melemparkan dokumen di kakinya dan mengancam untuk memasukkannya dalam penjara jika dia enggan menandatangani dokumen berkenaan.

Subramaniam bagaimanapun berkata, dia tidak pernah dipukul secara fizikal semasa dia ditahan.

"Tiada seorang pun pegawai penyiasat memukul saya secara fizikal. Mereka hanya memberi saya penyeksaan mental untuk membuat saya mengaku bahawa saya menyokong pengganas (LTTE)," katanya.

Selepas aduan Subramaniam dirakam, mahkamah berkata kenyataan itu telah disemak dengna Subramaniam untuk ketepatannya, yang kemudian disahkan sebagai dokumen akhir.

Bagaimanapun, Azura tidak menetapkan tarikh untuk membuat keputusan mengenai aduan penyeksaan mental oleh Subramaniam.

Esok, Azura juga akan mendengar aduan lain berhubung layanan ketika dalam tahanan Sosma oleh seorang lagi tertuduh, A Kalaimughilan.

[Baca berita penuh]