Skip to main
Logo Malaysiakini

Puteri Umno gesa ambil tindakan terhadap musuh dalam selimut

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Ketua Pergerakan Puteri Umno, Zahida Zarik Khan, berharap tindakan tegas diambil terhadap anggota parti mereka yang cuba menjadi musuh dalam selimut.

Zahida berkata demikian sebagai merujuk ahli Umno yang menurutnya cuba membawa naratif lain daripada yang diketengahkan oleh pimpinan utama parti.

“Puteri (Umno) harap ahli majlis tertinggi Umno ambil tindakan tegas atas isu disiplin yang dilaporkan tidak kira sama ada 'ikan jerung' atau 'ikan bilis'.

"Jangan ada yang sesuka hati atau cuba menjadi hero membawa naratif lain seperti sembang kedai kopi.

“Jangan dilayan lalang-lalang dan (yang cuba) raih simpati...mereka bagaikan api dalam sekam,” katanya semasa menggulung ucapan dasar Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri Umno, di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, hari ini.

Tambah Zahida, terdapat pihak dalam Umno yang ingin bersama kerajaan PH hari ini melalui 'pintu belakang'.

“Mereka adalah yang mahu bersama kerajaan hari ini. Tiada pintu belakang...jadi kena ambil tindakan disiplin,” katanya.

Selain itu, Zahida menyeru kesemua Puteri Umno mengambil pendekatan yang berbeza untuk menarik minat dan sokongan anak muda.

“Gerak kerja Puteri haruslah ditekankan untuk mendaftar pemilih... pengundi, kerana mereka (anak muda) adalah aset parti pada pilihan raya umum (PRU) ke-15.

“Walau apa juga cabaran, susah dan senang kita hadapi bersama seperti adik beradik. Kita pupuk semangat kasih sayang agar menjadi satu pasukan merampas kembali tampuk pimpinan negara,” katanya.