Skip to main
Logo Malaysiakini

Merisik Khabar sambut Azmin dan rombongan

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Terkapar-kapar kukelemasan

Sakit dilambung ombak kerinduan

Di dalam tidur di dalam jaga

Diburu oleh mimpi yang serupa

Mengapa aku jadi tak menentu

Keranamu...


Kumenyusuri jalan berliku

Membiarkan hari-hari berlalu

Tiada salam tiada pesan

Memaksa diri untuk melupakan

Namun wajahmu bermain di mataku

Tiap waktu


Malamku suram siangku kelam

'Ku kegelisahan

Mencari-cari jae mana pergi

Harga diri ini?


Begitu antara lirik lagu Merisik Khabar yang menjadi latar mencorakkan warna di majlis perasmian Kongres Pemuda dan Wanita PKR di Melaka malam ini.

Mengiringi lagu popular pada era lewat 1980-an itu ialah paparan pelbagai gambar bersejarah membabitkan pemimpin parti itu, termasuk presidennya, Anwar Ibrahim; timbalan presiden, Azmin Ali; naib presiden, Zuraida Kamaruddin; ketua wanita, Haniza Talha; serta perdana menteri merangkap Pengerusi PH, Dr Mahathir Mohamad.

Di majlis itu juga Azmin Ali menerima sanjungan tinggi daripada perwakilan yang menghadiri kongres berkenaan serta mendapat tepukan gemuruh ketika beliau tiba di Dewan A Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka kira-kira jam 9.15 malam.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu kelihatan segak dengan baju Melayu berwarna biru laut serta bersongkok ketika mengejutkan hadirin yang memenuhi dewan apabila memasuki pintu utama dengan mengayuh beca.

Dalam beca yang ditariknya pula ialah Zuraida dan Tian Chua.

Suasana juga menjadi lebih mengujakan apabila lampu di seluruh dewan dipadamkan dan hanya lampu sorot saja dipasang bagi menyambut rombongan beca tersebut.

Gegantung menarik perhatian

Memasuki dewan Azmin bagaimanapun menurunkan dua penumpang terhormatnya dan beliau kekal berada di atas beca Keadilan itu sambil seluruh dewan melaungkan Reformasi! berulang kali.

Perasmian kongres sayap PKR itu menjadi perhatian kerana sebelum ini ia mengetengahkan krisis dalaman parti itu membabitkan dua kem berbeza, masing-masing diketuai Anwar dan Azmin.

Untuk rekod, Ketua Pemuda PKR, Akmal Nasir, adalah tokoh yang teguh di belakang Anwar namun kedudukannya dilihat tidak begitu selesa apabila hampir semua ahli jawatankuasanya berada bersama Azmin.

Bagi Wanita PKR pula majoriti kepemimpinannya - termasuk ketua - memihak kepada Azmin.

Baru-baru ini berlaku kekecohan apabila Akmal dan beberapa pemimpin pemuda mengumumkan kongres mereka tidak akan dirasmikan Azmin seperti kebiasaan, sebaliknya Dr Wan Azizah Wan Ismail akan melakukannya.

Bagaimanapun selepas Azmin dan Anwar bertemu dalam mesyuarat khas Biro Politik PKR semalam, ahli parlimen Gombak itu kembali dipilih menjadi perasmi kongres pemuda dan wanita.

Keadaan di atas pentas utama juga agak menarik apabila Akmal duduk diapit oleh orang yang dikaitkan dengan Azmin.

Sementara itu klip video yang mengiringi lagu Merisik Khabar memaparkan beberapa pernyataan yang dilihat memberi pujian kepada Azmin.

Misalnya kata-kata: "Azmin Ali juga adalah antara arkitek utama temukan Mahathir & Anwar" serta "Dan Azmin jugalah dapat menerajui kerajaan Selangor dengan jayanya dan kekalkan hubungan dengan PAS walaupun ramai anti Azmin bising, namun tindakan Azmin menyebabkan orang Melayu beri sokongan kepada PH."

Video yang disediakan Ratu Naga itu juga turut memaparkan ungakapan #KekalTenang di penghujungnya. Tanda pagar itu difahami merujuk kepada slogan digunakan kem Azmin.

Pemerhatian Malaysiakini sebelum bermulanya acara perasmian juga mendapati beberapa gegantung (bunting) ucapan selamat datang oleh Angkatan Muda Keadilan juga tidak mempunyai gambar Akmal.

Sebaliknya ia memaparkan wajah Timbalan Ketua Pemuda PKR, Hilman Idham, merangkap setiausaha politik Azmin.

Sementara itu ditanya mengenai gegantung tersebut selepas perasmian pembukaan selesai, Akmal berkata, beliau tidak menganggap ia sesuatu yang perlu diperbesarkan.

Kata ahli parlimen Johor Bahru itu, ia adalah perkara biasa.

"Sebenarnya esok kita akan lihat lebih banyak banner (pemidang) dan bunting daripada perwakilan serta pimpinan untuk mengalu-alukan kehadiran perwakilan dan permerhati," katanya.