Skip to main
Logo Malaysiakini

Kongres Pemuda PKR umum pengerusi tetap, timbalan baru

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

KONGRES PKR | Pemuda PKR (AMK) mengumumkan pemilihan pengerusi tetap dan timbalan pengerusi tetap yang baru bagi menggantikan Mizan Adli Mohd Noor dan Mohd Ramly Ahmad yang dilucutkan jawatan sebelum ini.

Perkara itu diumumkan Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Md Akin di Kongres AMK di Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

Menurutnya, jawatan pengerusi tetap kini disandang Setiausaha AMK Melaka Rashid Abu Bakar, manakala timbalannya Setiausaha AMK Kedah Wan Mohamad Syahezral Wan Shahidan.

Dua nama dicalonkan untuk pengerusi tetap iaitu Rashid dan Ketua AMK Pokok Sena Mohd Shafiq Mohd Altab.

Bagaimanapaun Shafiq tidak hadir hari ini difahamkan kerana tidak sihat.

Manakala hanya Wan Mohamad Syahezral dicalonkan bagi jawatan timbalan pengerusi tetap.

Pemilihan itu dibuat pada masa sama kekecohan berlaku di luar dewan, apabila Mizan dilarang masuk.


BacaKongres AMK bermula kecoh, bekas pengerusi tetap dihalang masuk


Shamsul berkata lagi, Mizan dan Adly telah merujuk status mereka selaku pengerusi tetap dan timbalan pengerusi tetap dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) sebelum ini.

"Justeru keputusan atau surat yang diserahkan kepada Mizan (dan Adly) menjelaskan bahawa ROS bersetuju dan setuju dan memperakui keputusan Majlis Pimpinan AMK seperti yang diputuskan pada 24 November (berkenaan perlucutan jawatan mereka)," katanya lagi.

Mizan dan Ramly dilucutkan jawatan pada 28 November lalu, menerusi surat yang ditandantangani Setiausaha AMK ahmad Syukri Che Ab Razab.

Surat itu menyatakan alasan pemecatan adalah kerana ada beberapa peraturan yang tidak dipatuhi.

Ketua Biro Perundangan AMK Chiew Choon Man kemudian menjelaskan pemecatan dibuat untuk mengelakkan masalah dengan ROS, memandangkan usia mereka sewaktu dilantik telah melepasi had umur bagi AMK.

Ketika dilantik, Mizan berumur 35 tahun dua bulan manakala Ramly 38 tahun tujuh bulan.