Skip to main
Logo Malaysiakini

Dana 'Umno-Tabung Perjuangan' ditubuhkan

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

PAU2019 | Setiausaha Agung Umno Annuar Musa mengumumkan penubuhan tabung bagi mengumpul dana untuk parti itu.

"Sukacita saya memaklumkan sebuah tabung untuk membantu Umno telah pun ditubuhkan dengan nama 'Umno-Tabung Perjuangan'.

"Melalui tabung ini berjihadlah kita, mengumpul dana untuk parti kita," katanya ketika membentangkan laporan mesyuarat agung Umno di PWTC hari ini.

"Nanti speaker akan kutip dana dari perwakilan...Kalau tak ada RM1,000, beri RM3,000," selorohnya kepada 2,695 perwakilan yang hadir.

Dalam pada itu, Annuar turut mengumumkan hasil 'pemutihan' keanggotaan Umno, yang menyaksikan hanya dua peratus anggota keluar parti sejak kekalahan pada PRU ke-14.

"Lantaran itu, Umno telah melaksanakan proses pemutihan keahlian yang bermula pada Oktober 2018 dan berakhir pada 15 Februari 2019.

"Pemutihan keahlian Umno melibatkan pembersihan hanya dua peratus yang dikesan menjadi ahli parti lawan, sebahagian telah menyesal dan ada yang mula memohon untuk kembali, empat peratus menyokong parti lawan tidak setia semasa perhimpunan agung Umno lalu dan empat peratus ahli meninggal dunia.

"Setelah melalui pelbagai proses termasuklah pemutihan, dilaporkan sehingga ke tarikh 5 Disember 2019, jumlah ahli biasa Umno ialah 3,292,667 ahli sementara jumlah bilangan cawangan Umno ialah 22,156 cawangan," katanya.

Katanya lagi, angka itu bertambah setiap bulan.