Skip to main
Logo Malaysiakini

Tiada masalah 'pintu belakang', janji masuk parlimen - Takiyuddin

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata bahawa beliau tidak mempunyai sebarang masalah mewujudkan kerajaan pusat melalui 'pintu belakang'.

"Saya OK dengan 'pintu belakang'.

"(Yang penting) menuju ke parlimen. Kamu ada pintu depan, pintu belakang, pintu tepi, kamu boleh masuk pintu mana-mana.

“Selagi masuk melalui pintu sudah cukup," katanya kepada pemberita ketika ditanya adakah beliau menolak sebarang usaha mewujudkan kerajaan menerusi 'pintu belakang'.

Terdahulu, Takiyuddin menghadiri ke majlis perasmian Perhimpunan Agung Umno ke-73 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, hari ini.

"Saya setuju. Ia seperti permainan bola sepak. Sebarang kelemahan atau kesempatan daripada pihak lawan, Kamu perlu masukkan gol. Ia tiada masalah melalui pintu depan, belakang atau tepi.

"Parlimen ada empat pintu," katanya.

Bagaimanapun, pendirian Takiyuddin berbeza dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang berkata Umno tidak impikan perubahan kerajaan melalui "pintu belakang" walaupun peluang untuk berbuat demikian terbuka luas.

Menurutnya melalui Muafakat Nasional mereka ingin membentuk kerajaan melalui "pintu depan" selaras dengan prinsip demokrasi.

"Melalui Muafakat Nasional, kita tidak impikan perubahan kerajaan melalui pintu belakang yang terbuka luas.

“Walaupun ketika ini pintu depan dan pintu belakang terbuka, kita tetap memilih pintu hadapan.

"Kita akan bina kerajaan sendiri mengikut lunas-lunas demokrasi seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2019 di PWTC, pagi tadi.

Cukup kerusi? ‘Tak ada’

Bagi satu soalan lain berkenaan adakah PAS mempunyai kerusi yang mencukupi bagi menubuhkan kerajaan baru, Takiyuddin membalas: "Mereka tidak ada."

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Kota Bharu itu tidak menjelaskan, apa yang dimaksudkan sebagai 'mereka'.

Sementara itu, Takiyuddin juga memberitahu bahawa Muafakat Nasional akan menubuhkan gabungan baru antara PAS, dan BN termasuk MCA dan MIC.

"Kami merancang untuk mendaftarkan Muafakat Nasional sebagai sebuah gabungan. Ia dalam proses.

Ini kerana katanya, Umno, MCA dan MIC dalam gabungan (BN).

"Jadi, tubuhkan gabungan baru kita kena periksa prosedur dengan RoS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan). Ia tidak boleh satu menjadi ahli di dua gabungan. Jadi, kami akan ke RoS," katanya.

Takiyuddin juga mengesahkan bahawa pengagihan kerusi masih belum dibincangkan.

"Pengagihan kerusi merupakan cabaran utama kami. Tapi, belum berbincang. Masih dalam proses sahaja," tambahnya lagi.

Saya pintu depan, kata Najib

Sementara itu, bekas perdana menteri Najib Abdul Razak tidak sependapat dengan kenyataan Takiyuddin.

"Saya hanya cenderung 'pintu depan' (wujud kerajaan dengan menang di PRU)," katanya ketika diminta mengulas perkara itu.