Skip to main
Logo Malaysiakini

Isytihar harta hanya manifesto PH, kata Hadi

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

PAU2019 | Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengulang kembali pendiriannya bahawa tiada keperluan untuk anggota parlimen mengisytiharkan harta mereka.

Ditemui pemberita di Perhimpunan Agung Umno 2019 di PWTC, beliau berkata perkara itu hanya manifesto Pakatan Harapan (PH) dan bukannya tuntutan undang-undang.

“Tidak, itu (pengisytiharan harta) lebih kepada manifesto Pakatan Harapan.

“Dari segi undang-undang dan perlembagaan ia masih menepati (jika tak isytihar), yang penting ikhlas. Kalau tidak ikhlas, tidak ada maknanya,” katanya ketika ditanya pemberita berkenaan perkara itu.

Untuk rekod, ini kali pertama Hadi hadir ke perhimpunan agung Umno, beberapa bulan setelah termeterainya Piagam Muafakat Nasional antara Umno dan PAS.

Semalam, Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Mohd Yusof mengumumkan sejumlah 160 daripada 222 anggota parlimen yang telah menyerahkan borang akuan pengisytiharan kepada Dewan Rakyat.

Mohamad Ariff

Sejumlah 62 anggota parlimen pembangkang tidak berbuat demikian, termasuk 18 orang daripada PAS dan 36 daripada Umno.

Semalam merupakan hari terakhir untuk anggota parlimen berbuat demikian, selepas Dewan Rakyat pada 1 Julai lalu meluluskan usul untuk mewajibkan semua anggota parlimen berbuat demikian.

Janji 14 manifesto PH menyatakan semua anggota Dewan Rakyat, Dewan Negara dan pegawai kerajaan berpangkat Jusa C ke atas akan diwajibkan mengisytiharkan aset dan pendapatan.

Ismail Sabri

Sementara itu Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob berkata parti itu sedia untuk mengisytiharkan harta dengan syarat ia diwajibkan oleh undang-undang.

Namun, katanya lagi, perkara itu hanyalah usul yang diluluskan di Dewan Rakyat tetapi tidak termaktub dalam mana-mana akta.

“Tiada keperluan untuk isytihar harta. Ia berlaku di mana-mana negara. Di pihak menteri (kerajaan) saya setuju sebab masa zaman kita dulu (BN) kita isytihar harta.

"Tetapi bagi yang tiada kuasa macam pembangkang (BN) untuk meluluskan apa-apa, apa yang mereka takut dengan penyalahgunaan kuasa?

“Ini isteri anak pun terikat dengan usul tersebut. Dia (speaker) telah keluar melangkaui kuasa yang ada pada parlimen,” katanya.