Anwar: Lawan tetap lawan, bukan lawan dengan kawan
Mengambil pentas di kongres PKR hari ini Presiden PKR Anwar Ibrahim mengingatkan anggota parti slogan 'lawan tetap lawan' adalah untuk melawan seteru dan bukannya sesama sendiri.
Pesan Anwar itu hadir ketika kemelut dalaman politik PKR berterusan dengan yang terbaru menyaksikan kongres Pemuda PKR (AMK) semalam dicemari pergaduhan sehingga mengakibatkan kecederaan.
“Lihat, kita ini satu pasukan. Bila kita kata lawan tetap lawan itu, lawan jangan dengan kawan.
“Parti ini parti kita, parti derita diangkat rakyat, susah di jalanan. Tauke besar kaya-kaya tak bersama kita, yang bersama kita saudara yang ada semangat menegakkan keadilan, tak terlalu pandai, tak ada dana.
“Yang ada hanya semangat dan cita-cita. Pecahkan tembok halangan dan bangkit sebagai satu keadilan rakyat,” katanya pada ucapan dasar dan perasmian kongres di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh, Melaka.
Kekecohan berlaku pada kongres AMK semalam selepas beberapa perwakilan mendakwa tidak dibenarkan masuk sedangkan sekumpulan pemuda berbaju hitam dikatakan hadir sebagai pemerhati dibenarkan masuk.
Siasatan polis setakat ini mendapati dua individu cedera dalam kejadian itu, masing-masing luka di dahi kanan dan belakang kepala.
Dua individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung insiden yang kini disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
Kejadian pergaduhan semalam terjadi meskipun Anwar dan timbalannya Mohamed Azmin Ali dilihat sempat mencapai kata sepakat pada saat-saat akhir untuk menetapkan Azmin sebagai perasmi kongres AMK.
Mengulas lanjut, Anwar mengimbas PKR yang bertahan sejak 20 tahun lalu dan menghadapi pelbagai cabaran sehingga mendapat mandat kuasa di peringkat negeri dan kerajaan pusat.
Justeru, kata Anwar pemimpin parti perlu berpegang kepada mandat berkenaan dan tidak angkuh dalam melaksanakan tugas.
“Saya sendiri akui kelemaham dan kekurangan saya. Apa yang boleh perbaiki, saya akan perbaiki. Tapi saya minta rakan-rakan semua peringkat perjuangan ini agenda reform (pembaharuan).
“Boleh ada aliran (berbeza) tapi tak boleh kekalkan fahaman puak-puak memecahkan parti. Saya sambut baik dalam pertemuan dengan pimpinan parti,” katanya.
Ahli parlimen Port Dickson itu turut menyentuh kelemahan kerajaan yang perlu diperbaiki seperti isu pinjaman pendidikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), keyakinan rakyat susulan kekalahan besar Pakatan Harapan dalam PRK Tanjung Piai dan IPCMC.
“Saya juga perpendirian bahawa Malaysia juga mesti bijak menyelesaikan masalah PTPTN yang sekarang menjadi kegelisahan pada rakyat.
“Jadi dalam kita menegur, kita menggesa dan mendesak kerajaan, kita mesti terima bahawa kita mesti ada sistem, kita mesti mencari penyelesaian berdasarkan keupayaan tapi kita tak boleh gunakan retorik lama,” katanya.
Beliau turut mempertahankan penjawat awam yang didakwa bersengkokol dengan sistem pentadbiran lama.
Anwar menyorot keresahan pihak polis mengenai Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC), iaitu Rang Undang-Undang yang telah ditangguhkan bacaannya ke sesi Parlimen Mac tahun depan.
“Saya ingin menggesa kerajaan melihat semula, pertahankan semula rule of law (kedaulatan undang-undang) ditegakkan tapi janganlah beri gambaran yang IPCMC ini hanya berikan gambaran soal salah laku polis .
“Kita mahu polis diberi pengiktirafan, kebangkitan, pertahankan peranan mereka menangani masalah keganasan dan banteras jenaayah yang meningkat. Cuma kita nak kawal supaya jangan ada keterlanjuran,” katanya.
Sementara itu, beliau juga mengingatkan kerajaan supaya mengambil iktibar atas kekalahan besar di Tanjung Piai kerana menurutnya ia merupakan mesej jelas daripada rakyat kepada PH.
“Anggaplah ia sesuatu peringatan kepada semua pimpinan Pakatan Harapan..kami (rakyat) bagi mandat jangan terlalu yakin, kami bagi mandat jangan terlalu bermegah-megah dan sombong dengan kuasa, kami bagi mandat, tolong selesaikan masalah kami,” katanya.
Namun, katanya beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kerana sudi mendengar pendapat daripada semua pimpinan ketika mesyuarat PH sebelum ini.
“Saya lega kerana sikap yang lebih positif sedia untuk terima kenyataan rakyat di bawah bagi mesej yang jelas dan pimpinan atas dengar baik-baik dan ubah sikap,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai