Skip to main
Logo Malaysiakini

Perwakilan Amanah mahu menteri komunikasi digugurkan

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

KONVENSYEN AMANAH | Selepas 19 bulan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan, perwakilan Amanah hari ini secara terbuka mendesak kepimpinan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad supaya mengugurkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Perwakilan Sarawak, Andri Zulkarnaen ketika membahaskan Pidato Presiden di Konvensyen Nasional 2019 Amanah berkata desakan itu dibuat kerana menteri terbabit dilihat gagal mempromosi kejayaan kerajaan PH.

“Kita mesti merombak kepimpinan kerajaan sedia ada dengan menukar menteri-menteri yang tidak perform. Antara menteri yang patut ditukar, menteri komunikasi. Sebab apa? Sebab dia gagal mempromosikan kejayaan kerajaan PH menunaikan manifesto.

"(Gobind) juga gagal mempertahankan kerajaan PH daripada serangan musuh, begitu juga sebahagian menteri-menteri lain yang juga tidak perform yang tak perlu saya senaraikan di sini,” katanya di Pusat Konvenysen Darul Ehsan (IDCC), hari ini.

Menurut Andri lagi, media massa hari ini juga lembik, lesu serta gagal mempertahankan kerajaan.

“Selepas 19 bulan PH memerintah, PH terus dituduh penipu, mungkir janji, kencing rakyat, serangan bertali arus dalam bentuk fitnah, penipuan dan tohmah yang akhirnya rakyat terkeliru dan tertipu,” katanya.

Sementara itu, perwakilan Selangor Ishak Ismail dalam perbahasannya turut mencadangkan Mahfuz Omar yang kini memegang jawatan Timbalan Menteri Sumber Manusia mengambil alih portfolio Menteri Komunikasi itu dari Gobind.

"Hampir lapan negeri menyebut tentang masalah komunikasi ini perlu diperbaiki di semua peringkat. Walaupun kita tak menguasai Kementerian Komunikasi tetapi tangan kita dalam kabinet sangat mustahak.

"Kalau boleh dicadangkan dengan ketokohan Datuk Mahfuz Omar kalau boleh dia nak pindah kementerian tu saya rasa. Kalau bab komunikasi ini saya ingat juara itu ada, tokoh itu ada," katanya.

Sementara itu, Presiden Amanah, Mohamad Sabu menyifatkan desakan perwakilan Amanah supaya Gobind digugurkan merupakan perkara biasa dan tidak terlalu keras.

“Tapi bagi saya itu biasa, itu lembut, kami dulu di bawah lagi keras,”katanya ketika sidang media selepas Konvensyen Nasional parti itu di Pusat Konvenysen Darul Ehsan (IDCC), Shah Alam, lewat petang ini.

Bagaimanapun, Pengarah Komunikasi, Khalid Abdul Samad menerusi sidang media sama berharap rakan parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) termasuk Gobind tidak terasa hati dengan gesaan itu.

“Kita nak highlight juga,ini budaya dalam Amanah, that's the purpose kita adakan kita punya convention. Kita nak orang kritik kita. Harap kawan-kawan kita tak terasa, yang mana komen pasal Gobind ke apa,”kata Khalid.

Naik harga RON95 sebagai tragedi

Selain isu mengenai kedudukan Gobind, seorang perwakilan dari Kedah, Nasir Zakaria pula mengkritik langkah kerajaan mengapungkan harga RON95 secara berperingkat dengan menaikkan harga petrol itu sekitar satu atau dua sen setiap minggu, sebaik Program Subsidi Petrol (PSP) dilaksanakan Januari depan sebagai satu 'tragedi'.

"Seminggu naik satu sen, seminggu naik satu sen, ini satu polisi tragedi sebenarnya kepada PH.

"Dan tragedi inilah yang telah menyebabkan jatuhnya kepimpinan Pak Lah (Abdullah Ahmad Badawi) sebelum ini. Tak akan kita nak ulang. Ia sangat menyakitkan dan pelaksanaan subsidi bersasar ini adalah program yang sangat menyakitkan," katanya.

Gagal juarai isu Islam

Selain itu, Nasir juga menuntut kepimpinan Amanah memandang serius kerjasama Umno dan PAS dalam muafakat nasional sebagai cabaran utama yang dihadapi.

Tambah Nasir, beliau juga turut membangkitkan persoalan kepada kepimpinan parti itu dalam usahanya membawa politik Islam.

"Politik Islam dalam kerajaan hari ini bergantung kepada Amanah, bagaimana Amanah nak bawa? Bagaimana kementerian agama kita nak bawa?"

"Memang saya setuju, panjang perbincangan dan penerangan tentang maqasid syariah, tentang konsep 'rahmatan lil alamin' tapi masih lagi berlegar di kementerian agama, masih lagi berlegar dalam Amanah dan tidak lagi membumi kepada rakyat," katanya.

Ujar Nasir, maqasid bagi orang Padang Terap, Baling dan Sik adalah harga getah naik dan itulah maqasid.

Tambahnya, Amanah dilihat masih gagal menjuarai isu agama Islam walaupun bergelar sebagai kerajaan.