Skip to main
Logo Malaysiakini

Jualan kurang rancak, ada untung, ada juga merosot

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

PAU 2019 | Hari ini adalah hari terakhir Perhimpunan Agung Umno (PAU) bagi tahun 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC), Kuala lumpur.

Seperti biasa, peniaga mengambil peluang berniaga di sekitar bangunan milik parti Melayu itu sejak Rabu lalu.

Menjelang hari terakhir perhimpunan Umno, prestasi jualan di kalangan peniaga gerai dilihat masih kurang rancak tidak seperti tahun-tahun sebelumnya.

Hasil tinjauan Malaysiakini mendapati, meskipun dilihat kurang mendapat sambutan, namun masih ada peniaga yang bertuah kerana mendapat keuntungan hasil jualan mereka.

Bagaimanapun, ada juga peniaga yang kurang bernasib baik meskipun sudah berusaha melariskan produk dan menarik pelanggan, apabila hasil jualan diperolehi tidak seperti yang diharapkan.

Bagi artis veteran tanah air Abon, 59 selama empat hari berniaga produk minuman dan makanan kesihatan di PWTC amat berbaloi meskipun berasa bimbang pada awalnya.

“Alhamdulillah dapat untung melalui produk yang saya jual, bukan setakat pulang modal, tetapi dapat menggaji pekerja sepanjang perhimpunan agung Umno berlangsung.

“Pada mulanya saya rasa macam suram sebab tidak macam beberapa tahun sebelum ini memang meriah. Dari awal nak susun barang (produk jualan) pelanggan dah beli,” katanya kepada Malaysiakini.

Juara Maharaja Lawak 2011 itu berkata, semalam dia berjaya mengumpul pendapatan sejumlah RM1,000 untuk jualan produk makanan tambahan, manakala roti buatan isterinya pula dijual mencecah RM600.

Bagi peniaga kain dan baju kurung, Eid Hayaty A. Rahman, 54 pula berkata jualan sempena PAU tahun ini dilihat lebih menguntungkan berbanding tahun lalu iaitu selepas Umno mengalami kekalahan dalam PRU ke-14. 

“Syukur saya dapat keuntungan lebih, hampir RM20,000 dalam masa empat hari. Lagipun saya sudah lama berniaga di sini jadi pelanggan tahu produk saya," katanya.

Sementara itu, bagi peniaga cadar, Ahmad Zaki Ahmad Ibrahim, 36 pula berkata jualannya mendapat sambutan menggalakkan.

Cadar yang dijual Ahmad Zaki berharga antara RM45 hingga RM60.

Walaupun berpuas hati, bagi Zaki jualan pada tahun ini menunjukkan penurunan berbanding beberapa tahun yang lalu, apabila pendapatan melalui jualan cadar melebihi 70 peratus.

“Pada kali ini agak menurun sedikit, disebabkan kekangan kehadiran pengunjung. Tapi setakat ini kami berpuas hati sebab ramai di kalangan perwakilan beri sambutan dan sokongan kepada jualan saya,” katanya.

Seperti Zaki, jualan kain, Naima Suhaimi, 53, juga mengalami kemerosotan  semasa perhimpunan agung Umno tahun ini.

“Memang jatuhlah berbanding dulu. Dulu terlalu ramai orang datang beli, tapi sekarang sudah kurang.

“Selama empat hari ini saya anggarkan dalam RM30,000 untung yang saya dapat. Dulu saya boleh untung hingga RM80,000 sepanjang persidangan Umno berlangsung,” katanya yang sudah berniaga selama 26 tahun sepanjang PAU.

Berlainan pula dengan peniaga kek Sarawak, Khairunisa Affifah Ahmadie, 26 yang mengatakan jualan keknya terkesan disebabkan kekurangan pelanggan sepanjang empat hari perhimpunan Umno berlangsung.

Katanya, kadar sewaan tapak niaga yang bertambah mahal juga membuatkannya berfikir sama ada mahu terus berniaga pada perhimpunan Umno tahun hadapan.

“Sambutan kurang dari apa yang kami jangkakan. Semalam (Jumaat) memang kurang dari RM1 ribu (hasil jualan kek).

Tahun depan kena fikir dua kali sama ada berniaga ikut Umno atau tidak. Ini pun belum balik modal lagi,” katanya.