Kisah Si Kitul bukan nak singgung sesiapa, kata Anwar
KONGRES PKR | Presiden PKR, Anwar Ibrahim, hari ini menegaskan beliau tidak berniat menyinggung sesiapa pun ketika memetik kisah Si Kitul dan Raja Mendeliar dalam ucapan dasarnya semalam.
Kenyataan itu dibuat Anwar sehari selepas sekumpulan pemimpin parti yang memihak kepada Azmin Ali meninggalkan dewan semasa ucapan tersebut disampaikan.
Menurut Anwar berkata ucapannya itu merupakan mesej pengajaran betapa bahayanya fitnah dan pengkhianat sangat berbahaya untuk sesebuah negara.
Pengajaran itu, katanya, dipaparkan dalam naskhah Sulalatus Salatin - atau juga dikenali sebagai Sejarah Melayu.
“Saya ditegur sebab cerita Si Kitul. Saya tak ada niat nak singgung siapa-siapa.
“[...] (Melaka) runtuh sebab itu fakta sejarah, bukan nak singgung siapa-siapa.
"Ini fakta sejarah, Melaka yang gagah ni runtuh kerana dua sebab - pemerintahan akibat cemburu hasad dengi, dan khianat. Itu kenyataan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Kongres Nasional Tahunan PKR ke-20 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka di Ayer Keroh, Melaka hari ini.
Tak boleh paksa ikut skrip
Semalam, sekumpulan pemimpin kanan PKR melangkah keluar daripada kongres parti itu menyalahkan Anwar kerana melanggar "persetujuan" yang telah dicapai.
Mereka berkata ucapan Anwar mengenai kisah si Kitul dan Raja Mendeliar membuka laluan kepada para pembahas lain untuk melancarkan serangan peribadi terhadap Azmin dan memecahkan perpaduan parti itu.
Si kitol dan Raja Mendeliar adalah kisah sejarah mengenai dua individu yang mengkhianati kesultanan Melayu Melaka sehingga negeri itu jatuh ke tangan Portugis.
Menurut Anwar para perwakilan dan pembahas memang sudah diberikan panduan untuk tidak menyerang mana-mana pihak dalam perbasanan lebih awal.
Namun kata Anwar pihaknya tidak boleh mengawal satu persatu kandungan yang akan disampaikan pembahas.
“Saya beri (persetujuan kepada Azmin), pertama; rasmikan kongres, yang tu kita tunaikan.
"Kedua, tambah satu dua nama perwakilan yang mereka cadangkan, dan beri jaminan supaya perbicara bahas tidak menyerang sesiapa. Itu kita lakukan.
“Tetapi kita kena faham, tak boleh paksa semua pembahas ikut skrip kita tulis. Kalau tak, kongres akan datang kita bagi kertas suruh mereka baca saja,” katanya.
Untuk rekod semasa Azmin dan kumpulannya melangkah keluar meningalkan kongres semalam, hanya dua daripada 10 pembahas yang selesai berucap dianggap sebagai penyokong timbalan presiden PKR itu.
Pembahas yang menyokong Anwar pula menggunakan pentas yang ada untuk menyasarkan kritikan terhadap Azmin.
Bagaimanapun, Ketua Penerangan Shamsul Iskandar Mohd Akin ketika ditemui pemberita berkata beliau tidak melihat perbahasan berkenaan menyasarkan Azmin dan penyokongnya.
Sebaliknya Shamsul Iskandar menyifatkannya sebagai lumrah dalam kongres dan Azmin tidak boleh mengharapkan pujian apabila memegang kerajaan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai