Skip to main
Logo Malaysiakini

Rahmatan Lil Alamin 'nyawa' Amanah

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

KONVENSYEN AMANAH | Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub, menyifatkan bahawa konsep Rahmatan Lil Alamin yang menjadi dasar kepada kerajaan - dan diperkenalkan oleh parti itu - menjadi "nyawa" kepada pertubuhan berkenaan.

Jelasnya, Amanah harus memastikan konsep itu kekal hidup, bukannya berkubur seperti beberapa slogan Islam yang lain sebelum ini.

“[...] oleh itu, kita harus untuk pastikan bahawa konsep Rahmatan Lil Alamin benar-benar segar hidup tidak akan mati seperti mana-mana slogan Islam dan seperti Islam Hadhari dan Islamisasi.

“Ingat benar-benar bahawa Rahmatan Lil Alamin adalah nyawa Parti Amanah Negara dan jangan main-main konsep ini.

"Ia mesti mampu kita terjemahkan dalam diri kita, parti kita dan kerajaan kita bersama,” katanya ketika berucap pada sesi penggulungan di Pusat Konvenysen Darul Ehsan (IDCC), Shah Alam, hari ini.

Ungkapan Rahmatan Lil Alamin rahmat untuk seluruh alam. Ia ada disebut di dalam al-Quran melalui ayat ke-107, Surah al-Anbiya.

Ia asalnya menjadi dasar kepada perjuangan Amanah sebelum parti itu membentuk kerajaan sebagai gabungan PH.

Ia kemudian dipersetujui kerajaan untuk menjadi dasar pentadbiran negara.

Bagaimanapun slogan dan konsep tersebut terus menjadi bahan persendaan pembangkang, terutama PAS.

Salahuddin yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani iuga berharap konsep tersebut dapat menyumbang kepada pembangunan insan.

Konvensyen Amanah kali ini berlangsung sejak Jumaat lalu, dihadiri oleh penyokong dan juga perwakilan parti bagi berbahas dalam pelbagai isu.