Zuraida dakwa Anwar cuba yakinkannya Azmin dalam video seks
Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin mendakwa presiden parti Anwar Ibrahim pernah cuba meyakinkannya bahawa video seks Azmin Ali memang individu yang dirakam dalam video seks beberapa bulan lalu.
Dalam usaha untuk meyakinkannya, kata Zuraida lagi, Anwar mendakwa bahawa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pernah memintanya untuk memecat Azmin.
Bagaimanapun Zuraida berkata beliau tidak yakin dengan dakwaan itu.
"(Jumpa Anwar) beberapa bulan lalu. Dia kata video itu memang Azmin, polis kata Azmin. Saya kata kalau (benar) Azmin, biarlah polis siasat dan Azmin kena terima kalau (video tersebut) betul.
"Anwar kata dia (Azmin) macam adiknya dan kasihan kepadanya. Jadi saya kata kalau kasihan, tolonglah dia.
"Lepas itu dia kata Mahathir suruh (Anwar) pecat Azmin. Tapi kalau (benar) suruh pecat, kenapa Mahathir keluarkan empat kenyataan (menyatakan Azmin) tak perlu cuti.
"Dia kata anda tak tahu Mahathir...Memang saya tak kenal Mahathir, (tetapi) saya (juga) tak kenal anda," katanya kepada kira-kira 2,000 hadirin di program yang mengumpulkan penyokong Azmin di Kuala Lumpur malam ini.
Zuraida merujuk kepada video seks menampilkan bekas ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz bersama seorang lelaki yang tersebar April lalu.
Haziq mendakwa lelaki tersebut adalah Azmin. Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan menyifatkan ia sebagai usaha memusnahkan kerjaya politiknya.
Program malam ini diadakan di Hotel Rennaisance, lokasi di mana sejumlah aktivis berkumpul 20 tahun lalu untuk menubuhkan Parti Keadilan Nasional, yang kemudian menjadi PKR.
Zuraida kemudian mensasarkan ucapan lantangnya kepada penyokong Anwar, dengan menyifatkan beberapa mereka sebagai "budak hingus" dan menggelarkan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail sebagai "tidak berguna".
"(Pengarah komunikasi PKR) Fahmi Fadzil, budak hingus tanya (sama ada) saya datang mesyuarat. (Ketua pemuda PKR) Akmal Nasir yang berhingus, budak pampers, jangan berlagak nak tegur kita," katanya.
Pemimpin PKR yang menyokong Anwar sebelum ini menyifatkan kem Azmin sebagai tidak memberi kerjasama dan enggan menghadiri mesyuarat parti.
Bagaimanapun Zuraida berkata beliau sudah cuba untuk mengadakan pertemuan rekonsiliasi dengan Anwar tetapi tidak berjaya.
Program itu yang dinamakan "Majlis Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030" dihadiri pemimpin yang menyokong Azmin, antaranya naib presiden Tian Chua dan Zuraida Kamaruddin, Ketua Wanita PKR Haniza Talha dan anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) iaitu Rashid Hasnon, Sivarasa Rasiah, Kamaruddin Jaafar dan Amiruddin Shari.
Walaupun dengan masalah suara serak, Tian Chua dalam ucapannya menggesa PKR agar kembali kepada asas perjuangan.
Katanya, ramai hadirin yang sudah tidak asing dengan isu puak dan persaingan dalaman, tetapi tetap kekal dalam parti yang bersusah-payah dibina mereka.
"Jadi bila saya lihat apa yang terjadi hari ini...mereka yang tidak mahu angkat plakad "Anwar PM ke-8" dianggap pengkhianat...ini bukan matlamat kita.
"Saya sertai reformasi bukan untuk angkat sesiapa jadi PM, tetapi untuk jatuhkan perdana menteri yang zalim," katanya.
'Macam mana nak jadi PM kalau...'
Ketua Wanita PKR Haniza Talha pula membangkitkan apa yang menurutnya kegagalan mengawal sesi perbahasan ucapan dasar presiden di kongres semalam.
"Kita sanggup datang beramai-ramai seluruh pelusuk negara, untuk mendengar amanat serta hala tuju pimpinan tertinggi parti kita yang kita kasihi.
"Tapi apa yang berlaku sebaliknya, (kongres) tidak boleh mengawal etika anggota parti pimpinan parti. Kalau tidak boleh kawal perbahasan macam mana nak mentadbir 30 juta rakyat?" soalnya.
Walaupun tidak merujuk secara langsung, tetapi jelas kritikan Haniza itu ditujukan kepada Anwar.
Berhubung kandungan perbahasan yang menyebabkan ratusan keluar dewan semalam, Anwar berkata para perwakilan dan pembahas sudah diberi panduan untuk tidak menyerang mana-mana pihak, tetapi pihaknya tidak boleh mengawal satu persatu kandungan yang akan disampaikan pembahas.
Haniza berkata pemimpin yang baik seharusnya boleh ditegur dan memohon maaf jika melakukan kesilapan.
"Apabila pemimpin tidak boleh ditegur itu saat bermulanya keruntuhan peluangnya untuk memimpin kerana orang itu adalah diktator. Sekali lagi saya ucapkan, tidak salah minta maaf kalau membuat kesilapan," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai