Skip to main
Logo Malaysiakini

Jenazah bapa Dr Wan Azizah selamat dikebumikan

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Jenazah bapa kepada Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah selamat dikebumikan pada jam 11.15 pagi tadi di Tanah Perkuburan Ukay Perdana, Ampang.

Almarhum Wan Ismail Wan Mahmud ,93 tahun meninggal dunia pada jam lebih kurang 2.30 pagi di kediamannya di Taman Ampang Utama dan disembahyangkan di Masjid Al Mustakim Ampang yang terletak kira-kira 20 minit perjalanan dari tanah perkuburan.

Almarhum yang merupakan pesara Jabatan Penerangan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara meninggalkan balu Mariah Khamis, 85 tahun.

Terdahulu upacara solat jenazah itu turut dihadiri sendiri timbalan perdana menteri bersama suaminya Anwar Ibrahim serta isteri perdana menteri Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Antara pemimpin pemimpin lain yang turut dilihat hadir di masjid sebelum itu termasuklah menteri Dr Mujahid Yusof Rawa, Salehuddin Ayub, Mohamad Sabu serta Sivarasa Rasiah ,Lim Guan Eng dan Xavier Jayakumar.

Upacara pengebumian yang berlangsung dalam keadaan cuaca baik itu selesai kira kira jam 11.40 pagi.

Dr Wan Azizah yang ditemui selepas majlis pengebumian tadi berkata kehilangan itu saja bukan sahaja dirasai keluarganya namun turut dirasai seluruh negara memandangkan jasa yang pernah ditabur alamarhum sebelum ini.

"Sebab saya rasa sumbangan dia kepada negara ini sudah lama.

"Dia pernah bersama Dr Mahathir, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn dan Kementerian Dalam Negeri sebelum ini," jelasnya ketika ditemui di Ampang tengah hari tadi.

Dr Wan Azizah juga memberitahu arwah bapanya itu juga pernah menjadi tetamu negara ketika menghadiri upacara pertabalan Ratu Elizabeth kedua di England.