Anwar sedia beri keterangan dakwaan salah laku seksual
Presiden PKR Anwar Ibrahim menyatakan kesediannya untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan polis berhubung dakwaan salah laku seksual terhadapnya.
"Merujuk kepada dakwaan fitnah terbaru terhadap saya, saya berterima kasih kepada polis kerana telah menyegerakan siasatan mereka.
"Ingin saya tegaskan bahawa saya bersedia memberi keterangan kepada polis dalam kadar segera untuk membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan ringkas, hari ini.
Polis kini menyiasat dakwaan itu yang dibuat oleh bekas pekerjanya, Yusoff Rawther, mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah kepada seseorang dengan niat mencabul kehormatan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata polis akan mengambil keterangan Anwar serta beberapa saksi lain bagi membantu siasatannya.
Yusoff membuat laporan polis pada Sabtu lalu dan telah memberi keterangan di Bukti Aman pada 9 Disember lalu.
Menerusi satu perakuan bersumpah, dia mendakwa insiden itu berlaku pada 2 Oktober di rumah Anwar di Segambut.
Anwar menafikan dakwaan itu dan berkata dia sibuk berkempen untuk PRK Port Dickson - yang masuk hari keempat pada tarikh tersebut - pada hari kejadian itu didakwa berlaku.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai