Skip to main
Logo Malaysiakini

Saya hanya akan jawab di mahkamah - Dr Jeyakumar

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) Dr Jeyakumar Devaraj selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini berhubung kehadirannya pada majlis memperingati Perjanjian Damai Hat Yai ke-30, di Kajang pada 1 Dis lalu.

Bekas anggota parlimen Sungai Siput itu memberi keterangan selama sejam kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas D5 pada jam 12.30 tengahari tadi.

Beliau yang hadir bersama peguam Kohila Yanasekaran memberi keterangan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 223 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Manakala beberapa anggota PSM turut hadir menyatakan sokongan.

Bagaimanapun Dr Jeyakumar berkata beliau tidak memberikan sebarang jawapan khusus ketika disoal berkenaan kehadiran beliau pada majlis berkenaan.

"Itu saya jawab di mahkamah nanti," katanya ketika ditemui selepas memberi keterangan.

Dr Jeyakumar berkata, beliau hanya menyuarakan penghargaan dan perjuangan terhadap Parti Komunis Malaya (PKM) ketika memberikan ucapan pada majlis tersebut.

Pada masa yang sama beliau juga menafikan menyokong perjuangan bersenjata yang dilancarkan komunis.

"Kita harus teruskan perjuangan untuk keadilan, tetapi bukan menggunakan cara perjuangan komunis dan senjata api," katanya kepada Malaysiakini memetik ucapan semasa kehadirannya pada majlis itu.

Isu melibatkan Dr Jeyakumar timbul susulan kehadiran beliau pada majlis memperingati Perjanjian Damai Hat Yai ke-30, di sebuah dewan di Kajang, 1 Dis lalu.

Kehadiran beliau pada majlis itu menimbulkan spekulasi beberapa pihak dengan mengatakan beliau cuba membangkitkan perjuangan komunis.

Dr Jeyakumar berkata beliau difahamkan sejumlah 72 laporan polis telah dibuat di beberapa cawangan balai polis dan kebanyakannya dibuat di Melaka.

Mengulas mengenai dakwaan bahawa perjuangan komunis cuba dihidupkan semula, Jeyakumar berkata ia hanyalah spekulasi sesetengah pihak.

"Ini adalah spekulasi daripada orang lain. Seseorang cuba membuatkan ia kelihatan seperti satu isu.

"(Padahal) tak ada isu pun dalam perhimpunan, tak dengar sesiapa yang cuba bangkitkan perjuangan bersenjata," katanya.

Isnin lalu, anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Pelek, Ronnie Liu, hadir memberikan keterangan di Bukit Aman berhubung kehadirannya sempena majis peringatan itu.

Terbaru, sembilan persatuan dikenal pasti terlibat menganjurkan majlis berkenaan.

Tiga lagi individu dikenal pasti memberi ucapan pada majlis berkenaan iaitu editor Persatuan Persahabatan Abad ke-21, wakil PKM dan wakil Persatuan Kawan Karib Sarawak.