Skip to main
Logo Malaysiakini

Speaker: Tiada bukti isytihar harta bahayakan keselamatan

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

KEMASKINI 4.50PM | Tiada bukti kukuh menunjukkan pengisytiharan harta akan membahayakan keselamatan anggota parlimen, kata Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof, malam tadi.

Menjawab kebimbangan anggota parlimen Segamat, Edmund Santhara mengenai keselamatan diri dan ahli keluarganya, Ariff menegaskan pengisytiharan harta adalah amalan penting untuk memastikan kebertanggungjawaban seseorang ahli politik.

"Dengan hormatnya kepada YB Santhara, tidak ada bukti kukuh, tidak kira di Malaysia atau di mana sahaja."

"Ini mengenai ketelusan dan menjauhkan diri daripada rasuah. Jika kamu lihat seseorang memperoleh jumlah ringgit tertentu, tetapi tiba-tiba menjadi sangat sangat kaya apabila dia menjadi anggota parlimen, mesti ada justifikasi untuk itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis Makan Malam Bersama Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dan media malam tadi.

Sementara itu, Ariff berkata SPRM tidak menyiarkan setiap butiran harta yang diisytiharkan oleh anggota parlimen tetapi hanya jumlah keseluruhan.

Dalam temu bual dengan Malaysiakini dua hari lepas, Santhara menyatakan kebimbangan mengenai keselamatan dirinya dan keluarga berhubung pengisytiharan harta yang diwajibkan Pakatan Harapan.

Beliau sebelum ini dilabel sebagai anggota terkaya dengan harta setakat Mac berjumlah RM132.83 juta.

Walaupun berhadapan dengan gangguan, Santhara menegaskan pengisytiharan harta mesti diteruskan, tetapi dengan beberapa pengubahsuaian.

Beliau mencadangkan anggota parlimen terus mengisytiharkan harta mereka kepada kerajaan dan SPRM, tetapi hanya sebahagian maklumat - aset tambahan dari hari mereka dipilih sebagai wakil rakyat- harus didedahkan kepada umum.

'Belum terima aduan MP tak isytihar semua'

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya berkata pihaknya setakat ini belum menerima aduan berkenaan anggota parlimen yang membuat pengisytiharan harta yang tidak tepat.

Katanya konesp pengisytiharan harta adalah berkenaan ketelusan dan walaupun ia boleh membantu SPRM menjalankan siasatan, ia hanya boleh dimulakan jika terdapat aduan.

“Anda kena faham konsep pengistyiharan harta ini bukan untuk SPRM siasat.

“Tetapi jika ada yang lihat pengisytiharan oleh mana-mana anggota parlimen, dan dapati ia tak sepadan dengan gaya hidupnya, (boleh kata) ada hal mencurigakan mahu ia disiasat.

“Kita tidak kata bahawa anda perlu tunjukan bukti kepada kami, tetapi perlu ada aduan (sebelum siasat)," katanya ketika ditemui pemberita di forum berkenaan rasuah dan ketelusan di Kuala Lumpur, hari ini.

Latheefa Koya

Latheefa berkata demikian ketika menjawab soalan berkenaan kemungkinan ada anggota parlimen yang tidak memasukkan semua harta dalam pengisytiharannya.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Mohamaddin Ketapi dalam pengisytiharan hartanya mengatakan hanya mengumpulkan aset sebanyak RM9,338 dalam sebelas bulan sejak Disember lalu.

Menurut Latheefa lagi, tindakan tidak memasukkan semau aset dalam pengisytiharan adalah salah di sisi undang-undang.

Bagaimanapun, katanya lagi, Malaysia belum mencapai tahap memunyai undang-undang berkenaan kekayaan melampau untuk menangani isu jurang kekayaan dan pendapatan mana-mana individu.

"Kita belum menganggap kekayaan melampau sebagai kesalahan... Kita sebenarnya di peringkat asas dalam soal pengisytiharan harta.

"Ia sudah diperkenalkan di India, Hong Kong dan tempat lain. Kita harap itu langkah seterusnya (untuk Malaysia)," katanya lagi.