Mavcom boleh beroperasi paling kurang 6 bulan lagi
Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) masih boleh beroperasi secara berasingan bagi tempoh sekurang-kurangnya enam bulan lagi sebelum penggabungannya dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata masa selama beberapa bulan diperlukan bagi kerajaan memansuh dan meminda beberapa undang-undang, membincangkan tentang struktur dan bagaimana memindahkan peranan Mavcom kepada CAAM.
"Mavcom masih boleh beroperasi seperti biasa sehingga kami memansuhkan Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 di Parlimen dan sehingga saya memuktamadkan secara rasmi Mavcom tidak lagi beroperasi.
“Dalam tempoh beberapa bulan akan datang, kakitangan akan tetap datang ke pejabat, kerajaan akan membayar gaji mereka seperti biasa,” katanya sambil menambah kebajikan 59 kakitangan Mavcom akan dijaga.
Bercakap kepada media selepas pelancaran Hab Kargo Udara GTR di Sepang hari ini, Loke berkata penggabungan itu akan menjadikan badan kawal selia Malaysia lebih cekap serta dapat mengurangkan kerenah birokrasi.
"Sekarang ini kita ada dua pengawal selia. Jika mana-mana syarikat penerbangan, syarikat kargo udara atau syarikat pengendalian darat mahu mendapatkan lesen untuk beroperasi, mereka perlu mendapatkan kelulusan daripada CAAM dan kemudiannya perlu pergi kepada Mavcom untuk kelulusan lain.
“Jadi kami fikir ini adalah satu lapisan birokrasi yang kami mahu hapuskan dan kami mahu mentransformasikan dan memperkasakan CAAM," katanya.
Kawal selia hal ekonomi
Loke yang diminta mengulas kenyataan Pengerusi Eksekutif Mavcom Dr Nungsari Ahmad Radhi yang berasa kecewa dengan keputusan kerajaan mengenai penggabungan itu, berkata, beliau terkejut dengan reaksi Nungsari itu.
"Itu adalah keputusan Kabinet dan saya terkejut yang beliau berasa kecewa.
"Setelah mendapat kelulusan daripada Kabinet semalam, saya mengarahkan ketua setiausaha saya untuk memaklumkan kepada Mavcom dan membentuk satu jawatankuasa kecil atau pasukan petugas khas untuk melihat kepada pelbagai isu dari segi penggabungan, seperti kebajikan kakitangan dan jawatan, dan perbincangan itu akan mengambil masa sekurang-kurangnya beberapa bulan.
"Jadi ia bukan seolah-olah kita tidak berbincang dengan Mavcom," katanya.
Mavcom adalah sebuah badan bebas yang ditubuhkan pada 1 Mac 2016 di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 untuk mengawal selia hal ehwal ekonomi dan komersial berkaitan dengan penerbangan awam.
Matlamat suruhanjaya itu adalah untuk menggalakkan industri yang berdaya maju dari segi komersial, berorientasikan pengguna dan berdaya tahan yang menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai