'PRK Kimanis peluang Bersatu Sabah baiki hubungan dengan Warisan'
PRK Kimanis dilihat peluang yang sesuai untuk Bersatu Sabah memperbaiki hubungan dengan Warisan.
Hubungan antara dua parti itu sedikit keruh selepas Bersatu membuka cawangannya di Sabah pada April lalu, yang dikatakan bertentangan dengan persetujuan yang dicapai sebelum PRU ke-14.
Ketua Penerangan Bersatu Sabah Khairul Firdaus Akhbar Khan berkata, parti itu akan membantu Warisan dalam kempen PRK Kimanis dan itu akan menunjukkan keberadaan mereka bukan untuk menjejaskan Warisan.
"Kimanis adalah batu loncatan untuk semua pihak berdamai dan agenda kita jelas, iaitu memastikan calon Warisan menang, dan menang besar," katanya seperti dipetik Free Malaysia Today hari ini.
Pendirian itu beberapa hari selepas Setiausaha Badan Pimpinan Bersatu Sabah Dr Ronald Kiandee berkata parti itu berhasrat untuk bertanding dalam PRK Kimanis.
Ronald berkata, Kimanis adalah antara bahagian Bersatu yang paling aktif di Sabah dan hasrat itu telah dikemukakan kepada Dr Mahathir Mohamad.
Bagaimanapun semalam Pakatan Harapan (PH) Sabah dilaporkan sebulat suara setuju untuk memberi laluan kepada Warisan sekali lagi bertanding di situ.
Pada masa sama, Khairul mengakui wujud prasangka antara anggota Bersatu dan Warisan atas tanggapan Bersatu disokong bekas ketua menteri Musa Aman, tetapi perkara itu hanyalah khabar angin semata-mata.
Beliau juga menyangkal dakwaan parti itu akan membuat sabotaj terhadap Warisan dalam PRK Kimanis nanti.
"Itu hanya dakwaan liar. Malah kita memang mahu ke Kimanis untuk membantu Warisan," katanya, sambil menambah memang sukar untuk anggota Bersatu, yang kebanyakannya bekas anggota Umno, untuk bekerjasama dengan Warisan memandangkan mereka saling bertembung dalam PRU lalu.
Pada 2 Disember lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang membatalkan kemenangan bekas menteri luar Anifah Aman di parlimen Kimanis pada PRU ke-14.
SPR dijangka mengumumkan tarikh PRK itu tidak lama lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai