Skip to main
Logo Malaysiakini

'Chill, Greta' - Trump sekali lagi ejek remaja aktivis alam sekitar

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

GLOBAL | Presiden Amerika Syarikat Donald Trump sekali lagi mengejek Greta Thunberg, selepas aktivis alam sekitar berusia 16 tahun itu dinobatkan sebagai “Person of the Year” majalah Time bagi 2019.

Thunberg memenangi penghormatan tahunan majalah itu pada Rabu lalu, di atas sumbangannya dalam memberi inspirasi kepada jutaan anak muda untuk bertindak menentang perubahan iklim.

“Sangat merepek. Greta mesti menangani masalah dalam mengendalikan kemarahannya, kemudian pergi menonton wayang dengan kawan.

"Chill Greta, chill!" ciap Trump di Twitter, ketika membalas ciapan salah seorang pengguna Twitter yang mengucapkan tahniah kepada Thunberg.

Thunberg membalasnya dengan mengemaskini biografi Twitternya dengan memasukkan: "Seorang remaja yang sedang menangani masalah kemarahan. Sekarang sedang relaks dan menonton filem dengan kawan."

Susulan itu nama Thunberg menjadi trending di Twitter dengan beberapa tanda pagar, pada hari sama ulang tahun keempat Perjanjian Iklim Paris, di mana Trump menarik diri daripada perjanjian itu tidak lama selepas menjadi presiden.

Ia bukan pertama kali Trump menyasarkan Thunberg.

Pada September lalu, Trump di Twitter mengongsikan semula ucapan Thunberg di Sidang Kemuncak Perubahan Iklim Persatuan bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), di mana remaja itu mengecam pemimpin dunia kerana gagal menangani perubahan iklim.

Komen sarkastik Trump berbunyi: "Dia kelihatan seperti seorang budak perempuan yang sangat bahagia, dengan masa depan yang cerah dan hebat. Gembira melihatnya!"

Thunberg turut mengubah biografi Twitternya susulan komen pemimpin berusia 73 tahun itu, dengan menyifatkan dirinya sebagai "gadis yang bahagia, teruja dengan masa depan yang cerah dan hebat."

Thunberg juga salah seorang calon bagi Hadiah Nobel Keamanan, anugerah yang diinginkan Trump.

Trump sendiri dinobatkan sebagai “Person of the Year” majalah Time bagi 2016 selepas dia menang pilihan raya presiden AS dengan menewaskan calon Demokrat, Hillary Clinton.

-Reuters