Skip to main
Logo Malaysiakini

Macam Dory dalam Finding Nemo

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Jika ada menghidap masalah mental, agar sukar bagi anda mendapatkan pekerjaaan.

Itulah yang berlaku kepada Muhammad Faris Nazrin yang menghidap masalah gangguan skizoafektif - kelainan mental gabungan skizofrenia dan gangguan mood (misalnya kemurungan atau bipolar).

Pemuda 26 tahun itu bagaimanapun membuktikan kemampuannya selepas diterima bekerja oleh sebuah syarikat yang berpangkalan di Australia sebagai penganalisis data.

Dia berjaya mencuri perhatian warganet apabila menceritakan semula kisah kejayaannya yang bermula sebagai penganggur.

Faris disahkan menghidap penyakit itu oleh pakar psikologi klinikal di Hospital An-Nur Bangi pada tahun 2017.

Setahun sebelum itu dia didiagnos menghidap gangguan bipolar jenis Satu.

“Namun saya telah hidup dengan simptom-simptom penyakit ini seawal umur 16 tahun,” kata Faris kepada Malaysiakini.

Susulan penyakit itu, agak sukar baginya untuk memohon pekerjaan.

“Suatu ketika dulu saya menganggur. Kemudian satu hari saya ternampak iklan jawatan kosong di Instagram dan bertanya kepadanya tentang perkara itu.

“Dia mengetahui tentang penyakit yang saya alami dan dia memberitahu saya tidak akan mampu untuk berhadapan dengan tekanan kerja”, katanya menerusi laman web Twitter.

Selepas tawarannya ditolak, dia berasa sangat sedih kerana syarikat itu beranggapan dia tidak mampu untuk menghadapi tekanan kerja.

‘Bagaimana kami dapat bantu anda?’

Tidak lama selepas itu dia mendapat tawaran di sebuah syarikat Australia.

Sejurus selepas dapat tawaran tersebut, dia memberitahu penyakitnya kepada pengurus sumber manusia syarikat itu.

“Saya memohon jawatan kosong di sebuah syarikat Australia dan saya diterima. Ringkasnya, saya memberitahu pengurus sumber manusia tentang penyakit saya.

“Perkara pertama yang dia tanya ialah, ‘Bagaimana kami dapat membantu anda untuk bekerja?’.

“Dan itu adalah syarikat pertama yang pernah bertanya kepadaku seperti persoalan yang diharapkan”, katanya di laman Twitter.

Namun, pemuda tersebut berkata pada mulanya dia sukar untuk menyesuaikan diri dalam syarikat itu.

“Mula-mula agak gementar sebab saya sudah lama tidak bekerja di bawah penyeliaan sesiapa pun.

“Dan agak khuatir jika saya tak dapat nak tangkap setiap tunjuk ajar dari ketua pasukan sebab salah satu simptom saya membuatkan saya senang terlupa.

“Seolah-olah watak Dory dalam Finding Nemo”, katanya kepada Malaysiakini.

Dory dalam kartun Finding Nemo merupakan watak yang sering lupa pada keadaan sekelilingnya akibat masalah hilang ingatan jangka pendek.

Walaupun perasaannya cemas untuk memberitahu keadaannya, dia bersyukur apabila ketua pasukan syarikat itu memberi jawapan yang positif.

“Dia mengucapkan terima kasih kerana menceritakannya kerana dia dapat memahami keadaan saya dan membantu saya secara profesional”, kata Faris menerusi laman web Twitter.

Sebulan selepas berkhidmat di syarikat tersebut, beliau digelar antara pekerja terbaik pada ketika itu.

“Saya telah dianugerahkan sebagai salah seorang pekerja terbaik pada bulan tersebut. Itulah (prestasi) saya, dapat 100 peratus,” katanya menerusi laman Twitter.

Inspirasi beliau untuk teruskan kejayaan adalah kerana isterinya yang juga pesakit gangguan tekanan utama atau major depressive disorder.

Dia berharap dengan penyakit yang dihadapinya, boleh membuka mata orang ramai tentang keadaan pesakit mental.

“Penyakit atau gangguan fizikal dan mental bukanlah satu pengakhiran, ini adalah permulaan kekuatan dalaman yang patut dipertingkatkan", katanya.