Skip to main
Logo Malaysiakini

Skandal 1MDB: RM400,000 wang yayasan diserah pada kerajaan

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Wang berjumlah RM407,011.46 yang dibekukan daripada akaun bank milik Yayasan Penyelidikan Transformasi (Fort) - didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1MDB - kini menjadi harta kerajaan Malaysia.

Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Farah Yasmin Salleh memaklumkan kepada mahkamah Fort selaku responden menyatakan persetujuan menyerahkan wang itu melalui surat bertarikh 9 Julai lepas.

"Saya memohon satu perintah agar harta alih iaitu wang RM407,011.46 yang disimpan dalam akaun semasa Bank Al Rajhi atas nama responden dilucut hak kepada kerajaan Malaysia," kata Farah Yasmin pada prosiding kes itu hari ini.

Ahli Lembaga Amanah Fort, Zulkifli Jaafar, yang hadir mewakili responden berkata pihaknya tiada bantahan untuk wang tersebut dilucut hak kepada kerajaan.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Muhammad Jamil Hussin, membenarkan wang RM407,011.46 akaun Fort dilucut hak kepada kerajaan Malaysia.

Permohonan melucut hak itu dibuat pendakwaan mengikut Seksyen 56 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya dalam sidang akhbarnya baru-baru ini berkata permohonan perlucutan hak difailkan terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Latheefa berkata tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA).

Katanya SPRM percaya wang berkenaan dipindahkan dari akaun bank bekas Perdana Menteri Najib Razak.

- Bernama