Skip to main
Logo Malaysiakini

Bersatu Johor nafi ada gerakan nak gulingkan MB

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Seorang exco kerajaan Johor hari ini menolak dakwaan kononnya wujud cubaan untuk menjatuhkan Menteri Besar Dr Sahruddin Jamal selepas lapan bulan mengambil allih teraju pentadbiran negeri itu.

Solihan Badri yang juga setiausaha Bersatu Johor menegaskan bahawa tidak ada pergolakan dalaman sehinggan timbul isu hilang kepercayaan kepada menteri besar.

"Kami diperingkat negeri sangat solid bersama menteri besar, exco-exco kerajaan negeri bersama beliau, memberi kerjasama yang kukuh kepada beliau.

"Hubungan kami dengan pegawai-pegawai kerajaan amat baik, hubungan kami di peringkat Pakatan Harapan (PH), pihak istana juga amat baik khususnya," katanya dalam satu rakaman video.

Jelas Solihan lagi, pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor baru-baru ini, wakil rakyat PH menyatakan sokongan yang tidak berbelah terhadap Dr Sahruddin.

Sebelum itu portal Umno Online melaporkan Ahli Parlimen Belia Johor, Madyasir Ahmad Basir, mendakwa pentadbiran PH di negeri itu sedang retak menanti belah.

Memetik apa yang didakwanya sebagai sumber dalaman, Madyasir berkata ada cubaan untuk melakukan undi tidak percaya dalam DUN Johor tidak lama lagi.

Sedia untuk lebih maju

“Hal ini berlaku kerana dipercayai sudah ada individu dari parti MB sendiri yang menanam cita-cita untuk menjadi menteri besar. Individu itu dikatakan berjawatan yang amat tinggi dalam parti tersebut.

“Melihat kepada budaya catur-mencatur dalam politik Johor hari ini, saya tertarik untuk berkongsikan beberapa perkara mengenai jurisdiksi kuasa Sultan Johor dalam pelantikan menteri besar menurut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor yang telah wujud sejak 1895,” lapor portal berkenaan.

Solihan berkata berdepan dengan kepemimpinan Dr Sahruddin, tidak wujud rasa tidak puas hati baik dalam kalangan Adun kerajaan atau pembangkang.

Katanya, pembangkang hanya menyentuh perkara biasa membabitkan kelemahan tadbir urus kerajaan tetapi tidak pada kualiti menteri besar.

"Tidak ada ketua bahagian (Bersatu) yang mengatur strategi untuk mengetepikan beliau walaupun beliau (menteri besar) bukan ketua bahagian.

"Malah kerjasama yang baik juga diberikan oleh Mazlan Bujang sebagai ketua Bersatu Johor kepada kerajaan PH.

"Kami solid bersama menteri besar dan kami bersedia untuk menerajui negeri ini ke tahap yang lebih maju," katanya lagi.

Pada 14 Apr lalu, Sahruddin diangkat sebagai menter besar Johor dalam episod dilihat 'pertembungan' di antara Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dengan istana.

Sahruddin yang sebelum ini berkhidmat sebagai exco kesihatan, alam sekitar dan pertanian mengangkat sumpah sebagai menteri besar Johor yang baru di depan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Beliau menjadi menteri besar ke-17 Johor selepas Osman Sapian yang meletak jawatan pada 8 Apr lalu.