Umno sedia timbang terima Anifah kembali untuk Kimanis
PRK KIMANIS | Umno Sabah sedia membuat pertimbangan sekiranya bekas Menteri Luar, Anifah Aman, ingin bertanding mempertahankan kerusi parlimennya dalam pilihan raya kecil akan datang.
Bagaimanapun, menurut Pengerusi Umno Sabah, Bung Moktar Radin, Anifah - yang sebelum ini menjadi ahli parlimen bebas - perlulah bertanding menggunakan tiket BN.
Pada masa sama Bung Moktar berkata, Umno Sabah sendiri mempunyai senarai pendek calon yang berpotensi dipertaruhkan dalam PRK nanti.
"Umno Sabah sudah (bersedia) awal-awal lagi untuk meletakan calon, (tapi) sekiranya Anifah hendak bertanding atas tiket BN ianya akan diperbincangkan secara terperinci," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.
Mahkamah Persekutuan 2 Dis lalu, menolak rayuan Anifah untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 16 Ogos lepas bahawa kemenangannya di Kimanis pada PRU ke-14 lalu tidak sah dan terbatal.
Keputusan itu dibuat selepas hakim mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.
Ramai anak buah Anifah
Calon Parti Warisan Sabah, Karim Bujang, memfailkan petisyen pada 18 Jun 2018 bagi mencabar kemenangan Anifah.
Pada PRU lalu Anifah memenangi kerusi Parlimen Kimanis hanya dengan majoriti 156 undi.
Beliau memperolehi 11,942 undi dalam pertandingan tiga penjuru menentang Karim yang mendapat 11,786 undi manakala calon Parti Harapan Rakyat Sabah, Jaafar Ismail, yang menerima 1,300 undi.
Selepas kekalahan BN dalam PRU ke-14, Anifah mengambil keputusan untuk meninggalkan Umno dan bergerak sebagai wakil rakyat bebas mulai pada 19 Sept.
Khabar angin dalam Umno tidak menolak kemungkinan bahawa Anifah akan kembali bertanding atas tiket BN dalam PRK yang dijangka akan berlangsung Jan tahun depan.
Baca Bersatu mahu letak calon di Kimanis? Terserah, kata Shafie
Selain Anifah, ada juga spekulasi mengatakan bahawa bekas pemimpin Umno itu akan mempertaruhkan anaknya, Ahmad Zachry, untuk bertanding di kerusi itu atas tiket BN.
Umno juga berdepan laluan sukar sekiranya berlaku pertembungan tiga penjuru membabitkan parti itu serta Anifah dan calon Warisan.
Ini kerana sebahagian besar jentera Umno di Kimanis adalah 'anak buah' Anifah dan menjadi satu kelebihan buat Umno jika bekas ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno itu bertanding atas tiket BN.
Sementara itu Bung Moktar berkata, Umno Sabah belum berbincang dengan mana-mana parti bagi menghadapi PRK Kimanis dan mempertahankan kerusi berkenaan.
"Buat masa ini Umno belum mengadakan perbincangan dengan mana-mana parti, bagaimanapun Umno Sabah sentiasa terbuka dengan mana-mana parti yangg boleh untuk berkerjasama.
"Kami sedar parti pemerintah mempunyi banyak kelebihan, dari segi kuasa, peruntukan, kewangan dan lain-lain, apa pun dalam PRK macam-macam boleh berlaku terutama sekali apabila rakyat sudah hilang keyakinan dengan kerajaan, maka sudah tentu tidak mustahil Umno Sabah akan mencapai kejayaan," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai