Zuraida: Biar 'NGO nyamuk' gigit, gatal garu-garu sajalah
Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin menggesa "NGO-NGO tak relevan" supaya berhenti melaga-lagakan dua kem di dalam parti itu.
"Sekarang tempoh masa bertenang untuk kedua-dua pihak.
"Kalau ada nyamuk-nyamuk NGO itu biasalah nyamuk terbang-terbang kan. Jadi biarlah dia nak gigit sini sikit tak apalah. Gatal-gatal, garu-garu saja lah
"NGO-NGO tak relevan tak payah nak terlibat kerana mereka tak tahu apa perkara sebenar terjadi.
"Jadi untuk kemakmuran negara, demi kepentingan negara, saya fikir semua NGO yang [...] separuh masak lah, tak payahlah nak melaga-lagakan, membara-barakan lagi (keadaan)," katanya kepada pemberita pada suatu majlis di Taman Dagang, Ampang hari ini.
Terdahulu NGO Otai Reformis 1998 menuntut PKR untuk mendesak supaya menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu digugurkan daripada kabinet.
Mereka menuduh Zuraida membuat kenyataan mencemarkan nama baik Presiden PKR Anwar Ibrahim dan pemimpin parti lain.
Ditanya jika beliau menujukan nasihatnya kepada kumpulan reformis veteran itu, Zuraida berkata,"ya."
"Siapapun mereka. Mereka (Otai Reformasi 1998) salah satu daripadanya," kata beliau.
Ketika Kongres Nasional PKR di Melaka minggu lalu, Zuraida bersama pemimpin parti lain yang menyokong timbalan presiden Mohamed Azmin Ali memutuskan untuk tidak hadir pada hari terakhir kongres, sebaliknya mengadakan majlis makan malam berasingan di Kuala Lumpur.
Ambil tindakan lepas siasatan
Zuraida ketika berucap pada majlis makan malam itu, mendakwa Anwar pernah cuba meyakinkannya bahawa Azmin adalah individu dalam rakaman video seks yang tular beberapa bulan lepas.
Zuraida juga menuduh Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil dan pengerusi parti di Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak mempengaruhi Anwar.
Ditanya hari ini jika pemimpin parti yang dituduh melakukan skandal seks patut mengambil cuti sementara menunggu penyiasatan, Zuraida berkata tidak ada keperluan untuk tindakan sedemikian diambil.
"Biar teruskan siasatan, lepas siasatan dapat keputusan, kemudian baru kita bertindak," katanya.
Selain Azmin, Anwar pula dituduh mencabul kehormatan Muhammad Yusoff Rawther, yang mendakwa bekas pegawai penyelidik presiden parti.
Presiden PKR telah mengarahkan semua pihak menggunakan saluran dalaman dan berhenti membuat kenyataan terbuka berkaitan perbalahan dalam parti.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai