Skip to main
Logo Malaysiakini

PGA rampas 1.7 tan daun ketum bernilai RM267,500

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Batalion Satu Pasukan Gerakan Am (PGA), Ulu Kinta, Perak merampas lebih 1.7 tan daun ketum bernilai RM267,500 dalam lapan siri rampasan Op Wawasan Kedah/Perlis sejak Selasa lepas (10 Dis), yang berakhir hari ini.

Komander Briged Utara PGA, SAC Abdul Ghani Mohamad Ji dalam satu kenyataan hari ini, berkata rampasan pertama pada 10 Dis kira-kira 6.30 pagi, di sebuah pondok belakang rumah di Felda Rimba Mas.

Katanya hasil pemeriksaan menjumpai 10 guni putih dan tujuh plastik hitam berisi daun ketum seberat 330 kilogram (kg) bernilai RM49,500 dan menahan seorang lelaki warga tempatan.

“Rampasan kedua pada hari sama, di kawasan ladang getah Felda Mata Ayer, Padang Besar berjaya merampas lapan guni putih seberat 240kg daun ketum bernilai RM36,000,” katanya.

Dalam rampasan ketiga pula, PGA merampas empat bungkusan merah berisi daun ketum seberat 45kg bernilai RM6,750 ketika anggota PGA sedang membuat kawalan kubu di KTJ Pos PB 10 pada 7.30 malam. Bagaimanapun, empat lelaki berjaya melarikan diri ke arah Thailand, selepas mencampakkan bungkusan ke dalam longkang.

Beliau berkata pada rampasan keempat pada 12 Dis kira-kira 6 pagi, ketika anggota PGA sedang membuat rondaan di kawasan KTJ PB 11 berhampiran kawasan tempat letak kenderaan di Arked Niaga Padang Besar ternampak sekumpulan lelaki sedang memunggah guni putih.

Katanya menyedari kehadiran polis, kumpulan lelaki berkenaan melarikan diri dan meninggalkan barang di situ. Hasil pemeriksaan pihaknya menjumpai lima guni putih berisi daum ketum seberat 125kg bernilai RM18,750.

Rampasan kelima hari yang sama (12 Dis) kira-kira 5 pagi, anggota PGA menemukan 50 bungkusan plastik berwarna hitam berisi daun ketum seberat 500kg bernilai RM75,500 di kawasan ladang getah berhampiran kawasan perindustrian Padang Besar dekat sini.

Pada rampasan keenam, pada 13 Dis kira-kira 10 malam, PGA melakukan pemeriksaan terhadap sebuah khemah di Kampung Kok Mak dekat Padang Besar dan menemukan 12 guni putih seberat 300kg daun ketum bernilai RM45,000.

Dalam rampasan ketujuh, hari sama kira-kira 5.30 petang, ketika anggota PGA melakukan rondaan di ladang getah di Kampung Kolam berhampiran KTJ Pos BKC 7 terserempak dengan sebuah kereta Proton Satria dalam keadaan mencurigakan.

Menyedari kehadiran PGA, pemandu lelaki berkenaan bertindak melarikan diri dan meninggalkan kereta di situ. Hasil pemeriksaan ke atas kereta itu menemukan satu guni putih seberat 30kg bernilai RM4,500 dan kenderaan tersebut turut dirampas.

Rampasan kelapan berlaku di kawasan berhampiran sebuah sekolah di Padang Besar kira-kira 4.45 pagi ini, mendapati sekumpulan lelaki sedang memunggah guni putih disyaki daun ketum.

Menyedari kehadiran anggota PGA, mereka bertindak melarikan diri. Hasil pemeriksaan ke atas sebuah kereta jenis Honda CRV bernombor pendaftaran Thailand menemukan tujuh guni putih berisi daun ketum seberat 210kg bernilai RM31,500.

Sementara itu, PGA turut menggagalkan cubaan menyeludup masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) seramai lapan orang termasuk empat wanita berumur antara 19 hingga 54 tahun dipercayai warga Myanmar dan seorang lelaki tempatan berumur 50 tahun turut ditahan.

Kesemua mereka ditahan kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah di kawasan ladang getah berhampiran KTJ Pos C 23 berhampiran tiang TNB BKH-PB 470 kira-kira 3.40 pagi semalam.

Abdul Ghani berkata kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 bagi kes daum ketum serta diserahkan kepada IPD Padang Besar.

Sementara kes PATI disiasat mengikut Seksyen 26, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

-Bernama