LFL mahu serah 'bukti kaedah hukuman gantung secara kejam' pada Singapura
Persatuan peguam hak asasi manusia Lawyers for Liberty (LFL) mendakwa mereka masih belum dihubungi oleh pihak berkuasa Singapura bagi mengumpul "bukti" yang dakwaan kaedah menggantung secara kejam dan menyalahi undang-undang yang di amalkan penjara di republik itu.
Ini meskipun hampir sebulan sejak LFL tampil mendakwa mempunyai maklumat berhubung perkara itu daripada pegawai yang bertugas di penjara berkenaan.
Bagaimanapun, penasihat LFL N Surendran berkata pihaknya akan cuba bertemu dengan pihak berkuasa Singapura untuk menyerahkan "bukti" berkenaan.
"Kami telah menunggu respons ... kami fikir langkah seterusnya adalah untuk berkomunikasi (dengan pihak berkuasa Singapura) dan bertanya sama ada mereka bersedia untuk terlibat dengan kami mengenai hal ini.
"Saya fikir Singapura akan terbuka untuk mendapatkan bukti ini," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Surendran berkata LFL akan menghantar surat kepada Singapura tidak lama lagi dan akan memberi mereka "tempoh masa yang munasabah" untuk menjawabnya.
Sekiranya tidak dijawab, kata Surendran, LFL tidak mempunyai pilihan selain mendedahkan maklumat tersebut.
"Kami lebih suka melalui saluran rasmi mereka. Jika ini gagal, kami pasti akan mendedahkan maklumat ini, kerana ia berkaitan dengan nyawa manusia.
"[...] Ini adalah keadaan yang sangat serius dan mungkin mempunyai kesan besar dalam penyelenggaraan hukuman mati dengan cara menggantung," tambahnya.
Pada 23 Nov, LFL mengeluarkan kenyataan yang mendakwa telah mengumpul bukti "kukuh" yang menunjuk kepada amalan "kaedah-kaedah yang menyalahi undang-undang dan sangat kejam digunakan secara rahsia" oleh Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) untuk menggantung tahanan.
LFL bagaimanapun tidak mendedahkan maklumat berkenaan pada masa itu untuk melindungi sumbernya tetapi berkata ia bersedia untuk membincangkan bukti itu dengan pihak berkuasa Singapura.
LFL juga menggesa Singapura mengenakan moratorium (penangguhan sementara) ke atas hukuman gantung kesalahan dadah..
Malaysiakini cuba menghubungi pihak berkuasa Singapura tetapi tidak berjaya.
LFL sebelum ini membantah penggantungan beberapa rakyat Malaysia yang disabitkan dengan pengedaran dadah di Singapura.
Ia mendakwa amalan sedemikian hanya akan menghukum individu yang didakwa sebagai keldai dadah sedangkan dalang sebenar terlepas.
Surendran juga pernah menuduh Singapura mensasarkan tahanan Malaysia.
Bagaimanapun, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Singapura pada 13 Julai lalu mengeluarkan kenyataan yang menafikan ia mensasarkan rakyat Malaysia dalam hukuman mati.
Katanya, tuduhan itu tidak "tidak berasas" dan menegaskan bahawa undang-undang republik itu dikenakan sama rata untuk penduduk tempatan dan warga asing.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai