Skip to main
Logo Malaysiakini

Pengecilan operasi Media Prima: 543 pekerja NSTP akan dibuang

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Sejumlah 543 kakitangan kumpulan New Straits Times Press (NSTP) akan ditamatkan perkhidmatan pada Mac tahun depan, berikutan langkah pengurangan pekerja yang sedang dibuat Media Prima Bhd.

Pengerusi Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) NSTP Farah Marshita Abdul Patah, berkata pengecilan operasi akan memberi kesan kepada tiga penerbitan - New Straits Times, Berita Harian dan Harian Metro - dan hari terakhir untuk mereka yang terkesan telah ditetapkan pada 12 Mac.

"Pekerja di semua bahagian terjejas, termasuk subeditor," katanya kepada ketika dihubungi Malaysiakini.

“Pada mulanya ada rancangan untuk tutup keseluruhan bahagian foto, tapi kami (NUJ-NSTP) tidak setuju. Jadi sejumlah kecil jurugambar akan dikekalkan," katanya yang memaklumkan ahli NUJ-NSTP akan tinggal 143 orang, berbanding jumlah asal iaitu seramai 336 orang.

Selain ibu pejabat NSTP di Jalan Riong, Bangsar, Farah berkata biro negeri di seluruh negara juga akan digabungkan dan ia menjadikan jumlahnya dikurangkan daripada 14 kepada enam.

Katanya, bahagian di negeri-negeri di pantai timur (Pahang, Kelantan dan Terengganu), utara (Pulau Pinang, Kedah, Ipoh dan Perlis dan selatan (Johor, Negeri Sembilan dan Melaka) akan digabungkan kepada tiga biro.

Biro Putrajaya dan Shah Alam juga akan digabungkan, manakala Sabah dan Sarawak masing-masing akan memiliki satu biro, katanya lagi.

Walaupun dengan skala operasi yang dikecilkan, Farah berkata kesemua tiga akhbar akan terus mengekalkan bilik berita masing-masing, dan tidak kembali kepada apa yang sebelum ini dipanggil sebagai sistem 'convergence' di mana laporan dikongsi dan diterjemah antara penerbitan.

"NUJ-NSTP berharap langkah ini akan berjalan lancar dan pampasan dibayar mengikut perundangan. Penting untuk memastikan kesusahan yang dihadapi anggota kami disokong sepanjang proses ini.

"Kami juga berharap ini adalah kali terakhir langkah seumpama ini diambil oleh syarikat, dan tiada lagi anggota NUJ-NSTP yang akan berdepan kebimbangan berkenaan periuk nasi mereka," katanya dalam kenyataan.